BELLINA terkejut melihat pemandu
baru si suami Latif memberi salam setelah menekan loceng berkali – kali. Pada
hal Latif ada remote pagar automatik
banglo mewah mereka tapi mungkin kerana menyedari isteri majikan yang
keseorangan jadi tampak tak manis kalau diterjah masuk sahaja.
“Ya?”
“Emm...puan. Encik Darren nak
cakap.” Latif menghulurkan telefon bimbitnya takut – takut sahaja lagaknya.
Bellina menyambut huluran telefon.
Perit juga nak menelan air liur dengan situasi janggal sekarang tapi dia berlagak
selamba. Bellina meninggalkan Latif beberapa langkah sebelum menyapa suami yang
menghilangkan diri sesedap rasa. Sebelah tangan lagi mengutis daun pokok
krismas yang menghijau dan halus.
“Apa khabar?”
“Baik. Baby sihat. Tak nak tanya?” Bellina mengetuk kepala sendiri. Apa
yang skema sangat bercakap dengan Darren ni? Macam baru kenal pula tapi serius
dia rasa janggal.
“Ehem...” Darren mati kata – kata
seketika sebelum menyambung.
“Nanti ikut Latif. Pack your things for 2 days. Esok mintak cuti. Ada apa – apa lagi nak
tanya?”
Bellina ternganga.
Nak tanya apa?
Nak pergi mana?
Nak pack apa?
Semua soalan tak terluah. Akhirnya
dia hanya menurut dan hasilnya walaupun Darren suruh menyiapkan barang untuk
dua hari, dia menolak satu beg troli besar ke dalam Toyota Harrier.
SUASANA nyaman dan menghijau betul –
betul mendamaikan fikiran. Darren meminta untuk dibawa ke kawasan air terjun
yang berhampiran. Ms Helen Todd, penjaga tempat ini menunjukkan jalan dari rumah
dia menginap untuk ke kawasan air terjun. Teragak – agak juga Darren apabila Ms
Helen memberitahu anjing belaannya yang jinak dan biasa dengan kawasan
sekeliling boleh menemaninya. Terpaksa Darren menolak dengan sopan. Dia tak
kisah berjalan seorang diri di hutan belantara.
Cantik sungguh pemandangan sekitar.
Pokok – pokok durian tinggi sedang memutik, pokok manggis, pokok kayu sepetir,
pokok cengal dan pelbagai lagi jenis pokok – pokok yang dia tak pasti namanya
menampakkan kawasan percutian yang dipilih oleh Zaki ini amat terpelihara. Kawasan
hutan yang dilalui agak menyeramkan dengan jalan yang agak mencabar. Sangkanya
jalan untuk ke air terjun tersedia laluan yang dijaga tapi sangkaannya meleset.
Jalannya amat berliku tanpa ditarah atau jalan yang ditanda. Hanya trek hutan
original yang terpapar di lakaran yang digenggam ditangannya. Nasib baik
kawasan air terjun tak lah jauh sangat, satu jam berjalan sahaja. Darren
tersenyum sinis seorang diri sambil mengelap peluh di dahi.
Darren membetulkan urat, meregangkan
tangan dan mula membuat senaman ringkas di atas batu besar di tepi air terjun.
Baju dibuka dan dicampakkan ke atas batu. Tak sabar untuk terjun lipat maut
gaya Michael Phelps. Dia tak kisah buat kerja gila seorang diri. Anak tunggal
katakan. Semua benda buat seorang diri.
Baru Darren nak kira on your mark, get set suara kasar di
belakang menegur.
“Bro, tunggu. Sekalilah.”
Nasib baik Darren bukan penakut
orangnya. Dia berpaling. Jejaka berbadan tegap, dengan wajah yang dihiasi
jambang yang terbela dan nampak kemas kehijauan sedang tersenyum dan menghala
ke arahnya.
“Kau dari The Dusun ke?” Darren
bertanya.
“Syed Azri.” Jawab si polan dan
menghulurkan salam. Dia mengangguk dan menyambung lagi.
“Aku dah nak balik. Dah dua malam
kat sini. Kau duduk rumah mana?”
“Darren Umar. Aku duduk Berembun
House.” Darren menjawab tenang langsung duduk di atas batu. Tak jadi terjun.
“Aku datang ramai. Keluarga aku dari
Dubai nak sangat bercuti tempat sunyi dan menarik. Ada orang recommend datang sini. Kami duduk di
Emas House.”
Darren hanya mengangguk. Layan aje
bercakap walau pun baru kenal. Dia memberi isyarat jom terjun apabila melihat
jejaka bernama Syed Azri mula menanggalkan baju yang tersarung di badan.
Sempatlah berkenalan. Rupanya Syed
Azri ni menguruskan hotel milik keluarga rupanya. Budak grad TUM dan duduk di
Johor. Belajar sampai German tapi melepak kat hotel je? Darren berfikir
sendiri, segan nak tanya tapi biasalah anak orang kaya biasanya memang bebas
membuat pilihan. Dia pun tak terkecuali. Daddy mungkin tak kaya sangat tapi
sebagai anak tunggal, dia bebas juga membuat pilihan. Suka hati dia nak
mengusahakan perniagaan sendiri. Dia seronok bekerja sendiri daripada makan
gaji.
Dah penat lompat, terjun dan
berenang, sekejap sahaja mereka berdua sudah kesejukan. Mana ada orang lain kat
sini. Rumah yang disediakan di The Dusun pun baru 4 buah jadi berapa ramai
sangat dari pengunjung yang ada nak datang kawasan air terjun macam ni. Syed
Azri pun cakap jangan harap adik perempuannya nak meredah jalan hutan yang siap
berpacat semata – mata nak menikmati keindahan semulajadi macam ni. Darren
hanya tersenyum. Mereka lelaki, lain cerita. Rugilah kalau datang tapi malas
nak meneroka alam semulajadi yang indah begini.
Don’t
call yourself a man then!
“Eh, aku macam dengar bunyi mengerang
la.” Darren melilau sekeliling.
“Kau jangan buat hal.” Syed Azri
nampak cuak. Hutan belantara ni bhai!
Darren bergerak dari celah – celah
batu ke arah hutan. Selang dua meter sahaja dia nampak seekor arnah berwarna
kelabu yang agak comel mengeluarkan bunyi seperti dalam kesakitan. Darren
menjerit memanggil Syed Azri dan menyuruh Syed Azri mengambil bajunya di atas
batu.
“Pe
hal?” Syed Azri bertanya.
“Arnab ni macam kena serang dengan binatang
lain la aku rasa.”
Darren ligat mengelap darah di kaki
si arnab dengan bajunya. Selepas itu, bajunya dikotakkan dengan susah payah,
nasib baik pakai baju lusuh. Walau pun berjenama tapi kalau namanya baju favourite yang dipakainya sejak zaman
sekolah menengah, senang sahaja t – shirt berwarna putih itu dicarikkan. Kaki
arnab yang luka dibalut kemas. Dalam hati terdetik nak bagi Bellina bela sebab
Bellina pernah cakap dari kecik dia nak ada pet
tapi Mommy tak pernah approve.
Biasalah dah dapat mak orang bandar.
“Ko
pandai pula jadi doktor haiwan ni.” Syed Azri mengusik.
“Aah.
Aku kesian tengok. Nanti bawa balik Dusun. Boleh hantar veterinar kat Seremban
tak pun tanya Ms Helen nak buat apa.”
Syed Azri hanya mengangguk. Nama dah
Darren Umar. Darren tu dia tak tahulah apa makna tapi Umar tu memang mengingatkan
dia kisah Saidina Umar dan seekor pipit. Suatu
hari Saidina Umar r.a berjalan-jalan di
kota Madinah. Dia melihat seekor anak burung pipit dipermainkan oleh seorang
anak kecil dengan tangannya. Umar amat kasihan melihat burung pipit itu lalu
membelinya kemudian diterbangkan ke angkasa. Ketika Saidina Umar r.a wafat, beberapa orang ulama telah bermimpi
bertemu beliau dan menanyakan keadaannya.
“Apakah
yang telah dilakukan Allah kepadamu wahai Umar?”
“Allah
mengampuni aku dan melewatkan dosa-dosaku.” Jawab Umar.
“Kerana apa?
Kerana kedermawaanmu?Keadilanmu?Kezuhudanmu?”
Saidina Umar
r.a menjawab, “Ketika kalian menguburkan
aku,menutupi aku dengan tanah dan meninggalkan aku seorang diri maka dua
malaikat yang menakutkan datang kepadaku. Aku kehilangan akal. Sendi-sendi aku
tergoncang kerana ketakutan. Mereka lalu mengambil dan mendudukkan
aku,bermaksud menanyai aku. Tiba-tiba terdengar suara keras berkata.
“Tinggalkan
hamba Aku. Aku menyayangi dia. Semua dosanya telah Aku ampuni kerana ketika di
dunia ia telah menyayangi seekor anak pipit. Maka ketika ini Aku mengasihinya
sebagai balasan.”
Syed Azri
mula merindui Nur Lisa, seseorang yang telah memilih jalan hidup sendiri
tanpanya. Dia bila lagi? Pandangan ditala kembali ke arah Darren yang asyik melayan
si arnab yang comel juga pada pandangan matanya. Darren Umar. Keperibadian
sehebat nama, mungkinkah? Syed Azri
meneka rambang. Puas berendam air terjun yang dingin dan menyegarkan
badan, mereka berdua akhirnya menapak pulang ke The Dusun. Kali ini masing –
masing berteman dan sampai di hadapan Emas House yang di tengah – tengah,
mereka berpisah.
MELIHAT Bellina menapak tenang ke
dalam rumah dalam keadaan serba salah menghampirinya membuat Darren terkenang
perbualannya dengan Zaki tadi.
“Ishh...so high lah kau. Apa punya tempat kau cari ni?”
“La...” Tak sempat Zaki menjawab
Darren dah potong balik. Rasanya tempat yang dia cari tu cantik sangat. Sesuai
lah sangat nak jadi tempat berbaik dan berbincang.
“Bell boleh terberanak tau nak
sampai sini.”
“Dah kau yang nak tempat bercuti
kampung piyau (original) punya. Ya lah tu. Kau cakap nak ricky (periksa) tempat dulu. Dah tak nak. Turun balik lah.”
Zaki merenung telefon bimbit di
tangan. Kuatnya si Darren ni cakap. Tahu risaukan bini. Dia pula terlupa Bell
tengah mengandung. Pandai sangat tinggal bini lagak apon (pondan) merajuk tak nak balik rumah siapa suruh? Tak sampai
dua hari dah menggelabah. Ini dah mula nak tunjuk perangai gila dialah ni.
Sabarlah kau Bell. Kalau tak sabar kau cabut. Apa susah. Ajar je Darren
berlagak ni.
“Tak pe lah. Driver dah on the way bawak Bell naik.” Darren menyelak rambut
yang terjuntai di dahi.
Zaki ternganga. Mungkinkah Bell akan
terberanak dalam kereta? Habislah. Zaki pula yang risau tapi dia pernah sampai
ke The Dusun. Patutnya kalau naik Harrier dan Bellina dalam keadaan sihat
walafiat dan tak mabuk - mabuk, tak kan ada masalah.
“You
know what. I’m very sure Bell wouldn’t love this. She will be disgusted by the
soil, annoyed by the leaves and horrified by the leeches.”
Tapi Darren terlupa, Bellina hidup
dalam dua dunia yang berbeza. Dunia pekerjaan yang menuntut sikap terejal
(kasar dan lasak) bak kata orang Negeri Sembilan dan dunia sosialnya yang
umpama diri diulit dengan emas dan permata.
BELLINA memandang si suami yang
nampak terkejut apabila dia tiba – tiba muncul di pintu. Sungguh dia rasa nak
pengsan, nak mati, nak terberanak dan mengamuk apabila terpaksa melayan mabuk
dalam perjalanan menuju ke The Dusun. Sampai Seremban, dia senyum lagi apabila
Latif cakap Darren telefon pesan suruh beli barang keperluan untuk memasak atau
apa – apa sahaja makanan segera. Latif cakap tempat nak pergi boleh masak. Jadi
dia bayangkan homestay atau hotel apartment yang biasanya tetamu memang
dibenarkan memasak.
Bila masuk Kampung Pantai, Bellina
mula cuak. Lalu pula jalan yang bernama Jalan Gunung dia dah mula panik.
Panaroma sekitar mula berubah apabila mereka melalui perkampungan orang asli.
Kiri dan kanan hanyalah ladang kelapa sawit dan dusun – dusun atau kebun yang menghijau
dan kebanyakan nampak tak terbela seperti hutan belantara. Jangan cakaplah
berapa kali dia muntah apabila mereka mula melalui jalan curam, berbukit dan
berliku. Latif hanya mampu geleng kepala. Bellina buat tak tahu dan diam sahaja
sepanjang perjalanan. Dalam 3 km selepas perkampungan orang asli barulah
tersergam papan tanda bertulis The Dusun.
Ms Helen menyambut kedatangannya dan
menunjukkan Berembun House yang disewa oleh Darren. Dia hanya mengikut.
Nampaknya Darren telah menyuruh Ms Helen menantinya. Maklumlah tempat parking
dan rumah amat terhad di tempat ini jadi amat mustahil untuk Ms Helen
mengalukan tetamu yang tidak diundang.
Bellina tak mampu nak mendengar
cerita Ms Helen mengenai sejarah The Dusun tapi apabila dia menapak ke Berembun
House, segala – gala keperitan sepanjang perjalanan terasa amat berbaloi. Rumah
yang dinamakan Berembun House tersangatlah cantik. Walau pun dia rasa Darren
seakan mendera dirinya yang sedang mengandung tapi sesungguhnya Bellina
menghargai pemandangan yang terbentang di ruang mata.
“Hai.” Bellina menegur Darren dan
menghulurkan tangan untuk bersalam.
“Ada wuduk.”
Darren tidak menyambut salamnya.
Jelas terukir wajah hampa Bellina walau pun alasan Darren memang tak boleh
disangkal. Darren terus menuju ke ruang di sebelah katil, membentangkan sejadah
dan menunaikan solat.
Bellina menarik troli ke tepi day bed yang tersedia di dalam bilik
yang agak besar ini di samping sebuah katil besar di tengah bilik. Terbuai
seketika dengan suasana kampung yang tak pernah dikecapinya. Bilik yang
diperbuat daripada kayu sepenuhnya dengan tingkap yang semuanya dibiarkan
terbuka tanpa grill, menadahkan angin yang sejuk dan pemandangan menghijau yang
memukau mata memandang. Sayup – sayup kelihatan hutan belantara di sekeliling
dan di nun di bawah bukit sana. Langit pula membiru dengan taburan awan memutih
mencantikkan lagi pemandangan. Lima meter dari pintu bilik terdapat sebuah
kolam renang yang amat cantik dengan pemandangan lepas ke bawah bukit. Bellina
tersenyum sendiri. Terlupa masalah rumah tangga yang membelenggu dan badan yang
penat didera sepanjang perjalanan naik ke The Dusun.
“Thank
you.” Bellina tiba – tiba mengucapkan terima kasih kepada suami yang baru
selesai melipat sejadah. Memang patut Darren kesal dengan dirinya. Dalam
percutian yang kebanyakan orang akan lupa untuk bersolat apatah lagi untuk
berjemaah, Darren tetap menunaikan kewajipannya. Dia pula? Dulu solatnya
tunggang langgang.
Tanpa Bellina ketahui Darren pun
sama cuma kebelakangan ini sahaja solat seperti sebati dengan dirinya.
Dilakukan tanpa rasa berat tapi tanpa pengisian yang cukup. Dah terbiasa
mengimamkan Bellina dan dia terasa rindu untuk mengimamkan isterinya walau pun
baru sahaja tidak bertemu.
“For
what? For not coming home?” Darren menjawab sarkastik.
Dia menuju ke arah beg plastik Giant
di sebelah troli Bellina nak mula mengeluarkan apa yang dibeli oleh Bellina.
Lapar! Di sini hanya disediakan nasi lemak pada sebelah pagi sahaja. Lapar kena
pandailah cari makan sendiri dan kalau tak bawa bekalan dari bawah jawabnya
kena turun balik atau kebulurlah. Yang penting Darren suka dengan konsep The
Dusun. Dapurnya lengkap dengan pelbagai peralatan dan bahan memasak dan siap
dilabelkan dengan kemas. Terasa nak memasak seperti zaman di US dulu. Tadi dia
telefon Latif cakap terima kasih dan Latif sempat melaporkan Bellina berkali –
kali muntah dalam kereta. Mesti Bellina segan untuk mengadu dan bermanja
seperti biasa selepas amukannya.
Bellina membuka tudung di kepala dan
diletakkan di atas day bed. Darren
hanya menjeling dan menegur sinis.
“After
all I know. You are free to be yourself.”
Bellina tahu Darren
mempersendakannya. Malah mengkin mengejek tudung yang masih setia di kepala.
Entah kenapa dia menarik tudung dan menyarungkannya seperti biasa. Mungkin
sebab dah terbiasa?
“Darren.
That was my past.”
Darren diam dan menuju ke dapur.
Bellina malas nak memujuk lagi dan mengekori sahaja. Seligat tangan Darren,
tangannya pun ligat menyusun barangan di atas kabinet, dalam peti ais dan tanpa
bersuara mereka sepakat sahaja menyediakan spageti. Kelakar apabila Darren nak
ke peti ais, Bellina nak ke sinki. Bertembung dan masing – masing bergerak
untuk mengelak tapi serentak ke kanan.
“Sorry.”
Bellina mengelak ke kiri tapi serentak Darren pun ke kiri juga.
“Sorry.”
Darren pula yang meminta maaf.
“Stop
it Darren. Don’t treat me like a stranger.” Bellina memandang Darren tepat
ke mata. Darren membalas pandangan Bellina tapi tanpa suara Darren menolak
lembut badan Bellina ke kiri dan dia ke kanan tanpa menjawab dan bersuara
sepatah pun.
Bellina mengetap bibir tapi
disabarkan sahaja. Tak sampai setengah jam, mereka bergerak ke patio untuk
menikmati makanan yang dimasak sendiri. Patio yang amat menarik dengan
pemandangan kolam yang lepas nun ke bawah bukit.
Selesai makan, Bellina merenung
wajah suami yang nampak aman dan kacak seperti biasa. Tak tahu nak cakap apa.
Tak tahu kenapa Darren nak membawanya ke sini tapi mendiamkan diri sahaja.
“Darren, kalau awak tahu siapa saya
sebelum kita kahwin, will you still marry
me?”
Darren yang sedang menghisap rokok
terbatuk mendengar soalan Bellina.
Aaaaaaa..... intrestinggggg.
ReplyDeletex sangka ada dah sampai bab 6. SASG pun ada, sangat best. baca sambil senyum, boleh camtu kak rin?
ReplyDeleteKat page karya lepak terlepas bab ni... Sweetss ada SSB..
ReplyDelete