BAB
5
MUDAH benar gadis jatuh suka dengannya
dan orang itu termasuklah Alila. Itu pandangan yang Jude tafsir daripada
ungkapan Alila. Bukan Jude yang serba pakarlah, kalau dalam jarak tidak sampai
satu meter dia tidak boleh mendengar setiap patah yang keluar dari mulut Alila
tempoh hari.
X marks the
spot.
Ucapan yang sering disebut orang sekiranya
terjumpa sesuatu yang sudah lama dicari. Jude tersenyum.
Kalau terjumpa barang hilang, orang cakap ‘X marks the spot’. Kalau terjumpa lelaki
idaman macam Jude, pastilah awek tu pun akan cakap ‘X marks the spot’. Mesti dah lama tercari-cari lelaki seperti dia.
Fikir Jude.
Dia tersenyum lagi. Syok sendiri pun ada.
Maklumlah, reaksi seperti Alila sangat biasa bagi Jude.
Kenapalah lupa nak minta nombor telefon Alila? Dia
sendiri terkejut apabila melihat kelibat Alila di pekarangan A&E dan di
KLCC. Semasa pertemuan di A&E, tidak sampai seminit menganalisa dari
belakang, Jude pasti gadis itu yang ditemuinya di restoran Boat Noodle,
Publika. Penuh keyakinan Jude menghampiri dan telahannya benar belaka.
Senyumannya yang manis memang boleh membuatkan orang sakit terus sembuh. Sedang
menguap pun tampak sangat comel. Sedang menguis-nguis kucing supaya menjauh pun
kelihatan ayu.
Terkenang kembali gerak laku Alila tempoh hari.
Riuh bercerita dengan kawannya. Tidak pula dia dengar dengan jelas perbualan
mereka tetapi tampak sungguh gembira. Lagaknya seperti budak-budak remaja
keluar lepak. Kalau dia tidak dengar apa yang Alila cakap sewaktu dia sedang
membantu Julia, Alila tidak akan melekat sangat dalam ingatannya. Tetapi ayat
Alila yang spontan itu sungguh berani.
Tak bajet ayu langsung. Omel hati Jude.
Degupan jantung Jude terasa lebih kencang daripada
biasa. Dada dipegang. Jari telunjuk dan jari tengah tangan kanannya diletakkan
ke leher. Mencari urat nadi dan cuba mengira denyutan jantung sendiri.
Normalkah? Kalau normal dan kesihatannya baik-baik sahaja, maka adakah ini
perasaan cinta? Adakah hatinya telah terpaut dengan Alila? Jatuh cinta dengan
jururawat? Oh, come on Jude! Malas
nak fikir sangat, Jude menolak daun pintu balik. Tidak boleh dilayan sangat
perasaan yang sedang beraja ini.
BAGASI berjenama Ghurka
disandar ke dinding bilik. Sempat Jude mengira masa berbaki sebelum
penerbangannya ke Moscow. Dia berasa masih sempat untuk melakukan sesuatu.
Memang sengaja dia bersiap awal. Kunci kereta dikeluarkan daripada poket seluar
jean.
“Nak kami hantar tak?”
“Gosh!” ucap Jude
sambil mengurut dada. Dahi Julia ditunjal perlahan.
“Sakitlah bang.”
“Tak payah hantar. Abang telefon teksi nanti.”
“Beg tinggal dalam, ni nak pergi mana? Selekeh
pulak tu,” bebel Julia sambil mengekori langkah tegap Jude menuruni anak
tangga.
Suka sangat Jude dengan t-shirt hitam bertulis Stussy berwarna putih di dada. T-shirt itu juga kelihatan agak nipis
tetapi setiap kali ingin berjalan jauh, itu antara t-shirt buruk kegemaran Jude. Jude mempunyai dua atau tiga helai
lagi t-shirt yang serupa. Julia
terasa seperti ingin menyuruh Mak Ifah menghumban t-shirt itu ke tong sampah. Tetapi tidak ada siapa berani mengusik
barang Jude.
“Adalah… hah… dah alang-alang sibuk tanya itu,
ini, abang nak tanya, kat mana boleh dapat bunga ros merah paling cantik kat
Malaysia?”
“Gila betul!” Julia tergelak tetapi dalam
hatinya sangat terkejut. Terus wajah June terbayang di ruang mata.
“Please…”Jude
berpaling. Kedua-dua belah tangan si adik dipegang. Pertolongan Julia sangat
diharapkan.
“Aik, tak biasa bagi bunga kat awek ke?”
“Kali ni berbeza. I want the best. Only the best but it has to be the nearest I can get
now.”
Kening Julia berkerut-kerut berfikir.
“Julia, tolong abang okey. Kedai depan tu
agak-agak ada tak? Abang cuma nak bagi dia, lepas tu terus balik nak kejar flight.”
“Dia tu siapa?” soal Julia ingin tahu.
Jude mengangkat bahu. Rahsia! Mana boleh beritahu
selagi belum ada dalam genggaman.
“Okey, cuba
Julia fikir mana nak dapat.” Jude menggesa Julia.
“Abang cuba cari kat kedai depan taman rumah kita
ajelah. Blok paling hujung tu ada kedai bunga. Minta aje bunga ros merah
import. Kalau yang tempatan tak cantik sangat dan tak tahan lama. Kalau dia
suruh abang pilih, ambil kelopak yang gemuk-gemuk, bukan yang lonjong. Kelopak
lonjong kalau dah kembang tak cantik.”
“Wah! Terima kasih.” Jude angkat tangan tanda
tabik.
Berjela ayat Julia bercerita pasal bunga. Adat
perempuan dan bunga memang tidak boleh dipisahkan. Julia mengiringi Jude
sehingga ke pekarangan garaj.
“La… Pak Man mana? Kereta daddy halang kereta abang ni.” Jude melilau mencari orang kuat daddy, Luqman.
Pakcik Luqman orang penting di dalam rumah mereka.
Dia bukan pengawal keselamatan ataupun pemandu semata-mata kerana dia serba
boleh orangnya. Jadi dia menjadi orang penting bagi keluarga mereka.
Julia tersengih. Jenuhlah hendak keluarkan kereta
satu per satu. Dua buah kereta daddy
elok tersusun di belakang kereta Jude.
“Julia, pergi ambil kunci kereta Pak Man. Abang
bawak Honda dia ni ajelah. Cepat.” Jude menolak bahu Julia.
Konsep hartamu hartaku jua boleh diguna pakai saat
ini.
JUDE menapak ke
pintu masuk A&E dengan harapan Alila ada di sana.
Janganlah cakap Alila cuti ke, baru habis syif
jadi dah balik ke. Mahu tak tenteram jiwa dan raga kat Moscow nanti. Jude
mengomel dalam hati.
“Hai, Selamat Pagi. Boleh saya jumpa Alila?
Dia kerja tak hari ni?” soal Jude sambil melemparkan senyuman manis kepada
seorang staf berbangsa Cina di kaunter utama A&E.
“Tunggu sekejap ya encik.” Si gadis
berlenggang meninggalkan kaunter A&E untuk mencari Alila.
Jude menarik nafas lega. Pertama sekali,
semestinya kerana Alila ada di tempat kerja dan keduanya kerana dia tidak
ditanya soalan pelik-pelik. Kalau ditanya kenapa ingin berjumpa Alila? Siapa
dirinya? Apa yang harus dijawab?
Jude berjalan ke hujung A&E menghadap skrin
televisyen besar. Ralit pula Jude menganalisa servis yang ditawarkan oleh
hospital ini. Apabila nama Dato’ Dr. Fairus Tan terpapar di skrin, ingatan Jude
melayang jauh.
Alila berdiri di belakang Jude lama. Apa lelaki ni
buat kat sini? Kalau demam, bukan dia yang kena melangkah keluar pintu A&E
tapi mamat ni yang kena masuk dalam jumpa dia, ikut prosedur. Fikir Alila.
“Encik Juhaidi.” Alila memanggil sekali lagi.
Panggilan ketiga barulah Jude berpaling.
“Alila. Hai,” balas Jude sambil tersenyum.
Jauh di lubuk hati, Jude pelik kenapa pakar bedah
robot yang terkenal di Malaysia tersesat di hospital yang tidak ada pun mesin
secanggih da Vinci, da Love apatah lagi. Jude tahu sangat hospital mana yang
mempunyai da Vinci di Malaysia.
“Encik Juhaidi sakit? Nak jumpa MO?”
Jude menggeleng.
“Encik Juhaidi tahukan orang datang A&E ni
mesti ada sebab. Tak sakit orang tak datang sini.”
“Sebab saya mudah Alila. Saya nak jumpa awak. Saya
tak sakit pun. Sikitlah,” ujar Jude berpura-pura memegang dada.
“Heart
attack? SOB (short of breath)?” Alila kalut, terus tangan Jude ditarik ke
pintu masuk A&E tetapi pantas Jude menarik tangan Alila ke kerusi yang
paling dekat dengan mereka.
Alila risau juga jika lelaki itu sesak nafas.
Sifat keprihatinan yang memang terserlah tetapi kepada orang yang salah
nampaknya kali ni. Buat malu sahaja.
“Bukanlah cik misi. Heart problem jugaklah tapi bukan heart attack. I can’t stop thinking about you. Ini
‘sakit’ utama saya. Ada ubat tak?”
Alila terus menjarakkan duduk. Punggung diengsot
selang satu kerusi dengan Jude. Nasib baik A&E tidak sesibuk biasa. Kes
terakhir yang Alila uruskan hari ini ialah pesakit dengan acute chest pain. Selebihnya dia sibuk dengan kertas kerja. Berapa
banyak borang perlu diisi untuk satu-satu kes dan seseorang pesakit. Semakin
banyak hospital diakreditasi, semakin banyak kertas kerja perlu diisi. Semua
pekerjaan zaman sekarang datang bersama kerja perkeranian, lengkap satu pakej.
Apa lagi yang boleh dibuat. Reda sajalah.
Tidak sempat Alila menjawab, ketua dari bahagian
Onkologi menyapa sekali gus membawa info yang tidak berapa sedap didengar.
“Alila, tadi Dato’ Dr. Ahmad Rizqin ada dengan PIC
kita kat pejabat pengurusan. Pelik pulak aku dia tanya kau. Eh, kau kenal anak
dia Dr. Amar tak? Handsome tau.”
Alila tersenyum. Matanya berkalih ke arah Jude
sebelum menjawab soalan Sister Diana.
“Bos lama akulah.”
Takkan nak jawab bapa mertua tak jadi pulak kan. Mood boleh mati dengar nama tu. Rungut
Alila dalam hati.
“Oh, patutlah. Okey, aku gerak dulu.”
Alila hanya mengangguk.
“Encik Juhaidi, saya belanja awak minum.”
“Wow, tak payah pick up line pun datang rezeki saya ya. Hebat tapi pelik pulak awek
yang belanja. Sayalah yang belanja awak Alila,” ujar Jude lalu berdiri. Tangan
dihulurkan ke arah Alila.
Alila buat tidak nampak lalu dia terus berdiri dan
melangkah setapak ke depan.
“Nak pergi mana?” tanya Jude.
“Subway. Belah sana,” beritahu Alila sambil
menunjuk ke hujung blok.
“Saya belanja awak minum air kat mesin ni boleh?”
“Belum gaji ke apa ni? Kan saya dah cakap saya
yang belanja.”
Juhaidi tergelak. Tidak pernah lagi dia
diperlekehkan sebegini. Nampak selekeh sangat
ke pemakaian dia ni? Hati Jude tertanya-tanya.
“Bukanlah Cik Alila, saya nak cepat. Lagipun saya
datang ni nak bagi sesuatu dan nak tinggalkan kenangan kali kedua dengan mesin
air tu,” ujar Jude, tersenyum nakal.
“Kalau setakat nak pulangkan balik plaster pink tu baik tak payah. Saya halalkan.”
Lagi sekali Jude tergelak. Plaster yang dia fikir?
Alila berhenti di sebelah mesin air dan terus
duduk di bangku berdekatan.
“Saya nak air milo.”
“Okay maam!” Jude tabik.
Beberapa keping duit seringgit dikeluarkan dari
beg duit. Sebentar kemudian setin air milo dihulurkan kepada Alila.
“Minum sambil jalan boleh? Ikut saya pergi ke kereta.
Saya betul-betul nak cepat. Maaf sangat.”
Alila teragak-agak tetapi diturutkan juga. Tidak
manis dengan beruniform dia duduk melepak di hadapan A&E lagak seperti
orang tidak ada kerja. Lebih baik dia pusing-pusing. Tidak mahu terserempak
dengan ayah Amar nanti.
“Keputusan pemeriksaan kesihatan awak hari tu
okey?” soal Alila. Ingin bertanya tentang kenapa Jude perlu membuat pemeriksaan
terasa seolah-olah penyibuk sangat pula.
“Okey. Alhamdulillah. Dah lama kerja sini?” tanya
Jude pula.
Alila tidak terus menjawab. Dia terfikir tentang
soalannya tadi. Sepatutnya soalan itu Alila tanya semasa mereka berjumpa di
KLCC tempoh hari.
Baru pertama kali sebenarnya Jude menjejakkan kaki
ke sini. Syarat wajib kerjanya, membuat pemeriksaan kesihatan komprehensif
sebelum terbang menjalankan tugas. Dia juga wajib mencari hospital yang
diakreditasi JCI (Joint Commision International) kerana majikannya berpengkalan
di Amerika jadi dia perlu mencari hospital yang diiktiraf antarabangsa. Di
Kuala Lumpur tidak banyak hospital yang diiktiraf.
Kadangkala alang-alang hendak membeli-belah di
Singapura, dia buat pemeriksaan kesihatan di sana sahaja kerana kebanyakan
hospital di sana memang diiktiraf JCI. Hospital kerajaan pun ada yang diiktiraf
JCI. Kalau di Malaysia, hospital kerajaan setakat mendapat pengiktirafan daripada
MSQH (Malaysian Society for Quality in Health) sudah cukup bagus.
“Baru pindah. Tukar angin. Encik Juhaidi kerja
apa? Kat mana?” soal Alila pula.
“Kerja dengan orang. Kerja sendiri pun ada. Buat research sikit-sikit lepas tu buat sales.”
Jude mengeluarkan dompet dari poket jeans tetapi
malangnya kad namanya sudah habis. Tangan diangkat tanda isyarat nasib tidak
baik. Kalau sudah baca apa yang tertera di kad tidak perlu lagi dia berasa
segan hendak mengatur ayat menceritakan tentang pekerjaannya.
“Come on, kerja
apa tu sebenarnya?” soal Alila tidak minat jawapan yang berbelit-belit.
Zaman sekarang banyak betul orang buat kajian
kemudian pasarkan barang. Jual tudung pun perlu buat kajian. Semua produk
perlukan kajian sebelum dipasarkan.
“Nak tau kena panggil saya Jude. Peninglah saya
duk berencik-encik ni. Boleh?”
“Okay. I am Lila, just Lila.”
“Okey. Nah, dah sampai kereta saya. Tunggu kejap,”
ujar Jude mengalih perhatian Alila. Bunga yang dibeli tadi masih elok terletak
di tempat duduk penumpang.
“Untuk awak Lila. Just Lila.”
Alila tersengih. Pandai Jude buat lawak. Tangan
kanan masih sibuk menggentel straw.
Jude selamba sahaja menarik air tin milo yang sudah kosong di tangan kanan
Alila. Dihulurkan ke tangan kanan Alila dengan jambangan bunga ros merah yang
harum. Ringkas tetapi sangat menarik gubahannya. Harap-harap Alila suka. Hati
Jude berjeda.
“Untuk apa?”
“Ha…ha…ha… tak tahu pulak nak bagi bunga kena ada
sebab konkrit.”
Boleh muda sentiasa duduk dengan Alila ni. Ada
saja yang boleh buat Jude ketawa. Fikir Jude.
“Selamat berkenalan cik misi. Terima kasih tolong
bagi plaster hari tu.”
“Sebab tu aje?”
“Yalah. Sebab apa lagi.”
Okey, ada sedikit perasaan kecewa di situ. Alila
pun pelik kenapa dia boleh terasa begitu apabila mendengar jawapan Jude. Bukan
dia sudah benar-benar jatuh cinta pun tetapi apabila lelaki sekacak Juhaidi
memberikan bunga semata-mata ingin mengucapkan terima kasih demi dua keping
plaster yang dipinjam, tidakkah dia berasa kecewa?
Apatah lagi mereka mempunyai kenangan sebabak di
taman KLCC. Musnah lagi harapan Alila hendak move on. Demi ingin menutup perasaan pelik apabila mendapat bunga
itu, Alila berlagak selamba sahaja. Jambangan bunga yang harum dibawa ke dada
dan dicium.
“Terima kasih,” ucap Alila sambil tersenyum manis.
“Saya gerak dulu. Nanti jumpa lagi. Haa… lagi
satu. Saya nak nombor telefon awak boleh?” Telefon dihulurkan kepada Alila.
“Please key in
your number.”
Sekali lagi arahan diberi.
Alila hanya menurut.
“Nombor saya awak tak nak?”
“Awak miss
call ajelah.”
“Tak nak, nanti awak buat tak tau aje tengok
nombor tak kenal. Sini.” Tangan kiri Alila ditarik, telapak tangan diratakan di
atas tangannya dan sebatang pen dikeluarkan.
“Old school
sangat ni.”
Jude ketawa lagi. Alila kelihatan sungguh comel
pada pandangannya. Ayat-ayat Alila juga ‘comel’. Yang penting Alila cool. Tenang saja saat Jude menconteng
telapak tangannya.
“Hafal nombor ni. Tak payah susah-susah nak simpan
dalam telefon. In here,” ujar Jude
sambil jari telunjuknya lembut menyentuh kepala Alila.
Baru Jude hendak melepaskan tangan Alila tetapi
terasa tangannya digenggam erat oleh Alila. Terus matanya diangkat mencari mata
Alila.
“Thank you
again for this pretty bouquet.”
Erat genggaman tangan Alila tetapi sesungguhnya
hati Alila berdegup tidak sekata apabila kereta yang lalu di tepinya tadi amat
dikenalinya. Terserlah senyuman sinis pemandunya.
Dah tua ganyut pun sempat nak cari perbezaan kat
dunia ni. Alila pantas mengutuk dalam hati dan memang dia sengaja menggenggam
tangan Jude.
Lelaki di hadapannya kini, orangnya biasa-biasa
sahaja boleh buat Alila jatuh suka. Dia bukan materialistik seperti dituduh.
Dia boleh sahaja berkawan dengan lelaki yang berkereta biasa. Tidak perlu
menuduh dia perempuan yang gilakan lelaki berkereta mewah dan berpangkat
tinggi. Kalau sudah cinta, tidak berkesempatan pun hendak menilai semua itu.
Cintanya terhadap Amar dulu pun tanpa dia menimbang harta atau pangkat Amar.
“Jumpa lagi Alila. I’m gonna miss you. Bye.” Jude melepaskan dahulu tangan Alila.
Kemudian kakinya terus melangkah ke tempat pemandu.
Alila sudah bagaikan tugu negara kemudian
lambat-lambat dia bergerak ke tepi untuk memberi laluan kereta Jude keluar dari
kotak parkir.
Elok kereta keluar dari kotak parkir, Jude
menurunkan cermin.
“Alila, tiba-tiba saya teringat apa yang awak
cakap kat kawan awak masa kat restoran Boat Noodle tu dan setiap kali saya
teringat, takut pulak saya nak duduk
bersendirian dengan awak. Tadi awak genggam tangan saya kuat sangat buat saya
lagi takut. Awak memang gadis hebat, takut darah tapi boleh kerja kat A&E.
Hebat betul. Jadi, beritahu saya. How do you cope? Jadi vampire? Suck the blood when nobody is
around?”
Tidak perlu menjawab soalan itu kerana pipi Alila
sudah memerah bagaikan udang kena bakar. Dia tersenyum saja kemudian
melambaikan tangan dan Alila terus angkat kaki.
Sudah dua kali dia termalu sendiri dengan jejaka
bernama Juhaidi ini.
Tak apalah Alila, mana ada buluh tak berbuku. Tak
payah malu tapi harus diakui soalan Jude memang legend!
Hati Alila mengomel.
Happy holiday readers.....
Hope you have the best one while waiting for this novel.
xoxo
Thank you Kak Rin! Rindu gila nak baca novel Kak Rin lagi :)
ReplyDeleteJumpa nanti Lila & Jude!
hai Rara....
Deletemiss you too