Tuesday, 19 December 2017

LOVE LILA BAB 4








“RUGI kan budak yang baru grad terus masuk kerja hospital swasta,” ujar Kak Yus, memberikan pendapatnya.
Hari ini Kak Yus syif malam bersama dengan Alila.
“Betul Kak Yus, Lila yang kerja GH (general hospital) beberapa tahun pun sempat jumpa macam-macam kes. Kes kemalangan atau istilah biasa digunakan di A&E, kes MVA (Motor Vehicle Accident) paling mencabar sekali. Tak kira lagi kes gengster, kita kat dalam sibuk nak buat kerja, geng kat luar sibuk nak menghentak. Nasib baik tahun demi tahun semua sistem dah bertambak baik. Aspek keselamatan dah bagus. Sistem zoning dah bagus,” ujar Alila memberikan pendapatnya.
“Habis tu kenapa Lila tukar kerja?”
“Cari pengalaman Kak. Sebab gaji pun ya jugak. Banyak yang saya belajar masa kat tempat orang. Tekanan tetap ada tapi seronok jugak sebenarnya.”
“MO pagi ni Dr. Gina kan?” soal Kak Yus yang mendengar skema jawapan Alila sambil bertanya pengganti MO syif malam.
Dr. Ihsan sudah 10 minit menunggu untuk pulang tetapi Dr. Gina masih belum sampai. MO yang bertanggungjawab tidak akan tidak mempedulikan waktu kerja dan terus pulang. Biasanya mereka akan menanti MO syif yang seterusnya tiba, kemudian baru mereka pulang. Kadangkala waktu bertukar syif boleh menjadi waktu yang paling sibuk. Sekiranya ada pesakit belum dijenguk oleh konsultan atau belum lagi masuk wad bermaksud hand-over case note perlu diurus terlebih dahulu. Tak sabar nak tunggu hospital menggunakan sistem atas talian sepenuhnya bagi menggantikan case note, baru kerja lebih mudah dan teratur.
“Yup betul. Kak Yus, Lila nak pergi beli air panas kat mesin tu. Kak Yus nak apa-apa tak? “
“Tak payahlah. Kak Yus, biasanya kalau balik masa macam ni nak kejar sarapan dengan suami sebelum dia keluar kerja.”
“Okey, saya gerak dululah,” ujar Alila lalu melangkah meninggalkan kaunter.
Hanya ada dua orang pesakit yang menanti giliran ke wad. Sempat Alila memastikan situasi dalam A&E semua terkawal sebelum melangkah keluar.
Alila melangkah longlai menuju ke mesin air yang terletak di ruang lobi A&E. Penat sudah mencengkam ke tulang. Hendak berjalan pun terasa perlu mengheret kaki sahaja. Jadual kerja syif malam ini memang ada baik dan buruknya. Kalau agak tidak ramai pesakit memang seronoklah tetapi kalau tiba-tiba pelbagai kes masuk, tambahan pula kes MVA di Red Zone juga ada, memang boleh putus nafas sebaik sahaja habis syif. Rakan-rakan syif pagi boleh tersenyum menayang muka segar bugar. Dia dan staf syif malam yang lain, muka sudah serabai bagaikan tahap jambatan hendak roboh.
Jadual syif mereka agak sibuk dan padat di saat akhir. Ada staf yang bersalin awal semalam, ada seorang bercuti sakit dan ada yang pihak pengurusan hantar berkursus. Mana tidak pening jadual perlu disusun di saat-saat akhir. Akhirnya, Alila sendiri yang menawarkan diri untuk memenuhi jadual kaki tangan A&E untuk syif malam.
Kebiasaannya semua ketua jabatan akan menukar-nukar jadual sebagai sister on call semata-mata. Tetapi hari ini dia terpaksa mengendalikan semuanya. Nasib baik dia bertugas dengan Kak Yus yang banyak pengalaman juga. Seronok sedikit diajak bersembang di kala mata hampir tertutup.
Cepat sahaja mesin menelan duit, tetapi air tin yang ditekan sebagai pilihan tadi tidak pula terpacul keluar dari mesin.
Mesin gila! Tolonglah duhai pihak pengurusan. Letaklah mesin air yang high class sikit. Jatuh imej hospital kut macam ni. Dahlah tadi duit kertas tak nak terima. Rungut hati Alila.
Gigih Alila mengira duit syiling hendak cukupkan bayaran. Malam tadi ada orang ‘selamat’ ke kat A&E? Fikir Alila.
Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Kerja di hospital memang tidak sah kalau tidak berfikiran tahyul. Bukan hendak percaya benda karut tetapi sesekali apabila dalam keadaan marah, memang sengaja mencari asbab. Alila memandang mesin air untuk kesekian lamanya.
Bye Wonda Latte! Sehingga berjumpa lagi. Omel hatinya.
Gedegang! Bunyi mesin air ditendang dari arah tepi.
“Patutlah.” Alila tidak teragak-agak terus tunduk mengutip air tin yang keluar dari mesin.
Baru hendak mengalah. Dia tidak larat hendak menunggu. Tiba-tiba ada yang menolongnya menendang mesin air itu.
“Terima kasih, thank you, danke, spasibo?” ujar lelaki itu, siap berbahasa Jerman dan Rusia kerana gadis yang ditolong itu membuatkan dia rasa seolah-olah wujud tidak wujud sahaja.
“Terima kasih… maksud saya tadi patutlah budak-budak ni panggil…” Kata-kata Alila terhenti kerana dia sudah terkaku seolah-olah terkena renjatan elektrik apabila di hadapannya sekarang adalah Mr. Saviour.
Adakah zaman anak dara tuaku akan berakhir segera? Alila menggeleng-geleng. Terasa hendak menampar pipi agar tersedar dari angan-angan.
“Pernah tak dengar orang cakap, every time you help someone it comes back two fold’?”
“Publika? Minggu lepas? Encik?”
“Juhaidi… nama saya Juhaidi bin Johari,” ujar Jude sambil menghulurkan salam.
“Saya Alila… alah, plaster aje. Tak harap pun Encik Juhaidi balas. Susah payah aje  encik keluar skill macam tu. Tu yang budak-budak ni panggil mesin air gedegang. Saya tak boleh nak fikir dah nak main tendang- tendang baru keluar air. Penat sangat,” jelas Alila memberi isyarat agar tangannya dilepaskan.
“Kerja sini? Baru habis syif?” Jude meneka.
Badan Alila dibaluti pakaian seragam hospital dan raut wajahnya serabai dan mengantuk habis. Makin comel apabila Alila dengan selamba menguap.
“Yap. Encik memang datang A&E? Tak sihat ke?”
“Taklah. Saya ada temu janji. Medical check-up. Rugilah awak dah balik. Kalau tak saya serahkan jiwa dan raga saya untuk awak periksa.”
Pick up line sangat encik.”
“Juhaidi. Tak payah encik-encik.” Jude tergelak.
Budak zaman sekarang memang dah tak layan pick up line. Dah basi nampaknya. Fikir Jude.
Medical check-up blok sanalah. Sesat sampai ke sini awak ya dan sebenarnya awak sampai tersangat awal,” ujar Alila sambil mengerling jam di tangan.
“Budak hospital yang beritahu di A&E pun ada mesin air. Yang kat blok sana, saya dah sepak berkali-kali pun still out of order. Nasiblah yang ni tak payah tunjuk skill tendangan maut, air dah keluar.”
Bab sampai awal, Jude sengaja tidak mahu menjawab. Nampak seperti budak baik sangat pula kalau dia dikategorikan stok bangun pagi. Bab hebat sepak mesin air wajib diberitahu sebab itu adalah salah satu kehebatan lelaki macam dia.
Alahai, bukan tahap hebat sampai boleh crack code da Love pun setakat mesin air gedegang ni. Fikir Jude.
Alila ketawa. Malu kerana tempat kerjanya hanya mempunyai mesin air tahap ‘kokak’. Dia juga sudah tertawan dengan sikap selamba Juhaidi. Kalau pesakit atau pelawat lain datang dan mesin air buat hal, rasanya CEO pun kena turun tengok. Pesakit berduit yang datang semua beranggapan fasiliti yang ada di hospital swasta canggih seperti ini sangat sempurna. Hendak berjumpa yang tenang seperti Juhaidi memang agak tipis.
“Okey, saya gerak dulu ya,” ucap Alila, berbahasa.
Sure, jumpa lagi.” Juhaidi menarik tangan Alila dengan sengaja sehingga mendorong Alila ke arahnya.
Nasib baik Alila pula cekap. Kakinya kuat berpasak dengan jarak setengah meter dari Jude.
What a bad move, bro! Try harder. Getus hati Alila.
“I’m sorry.” Jude melontar senyuman dengan gaya ‘Sorry, I am not sorry’.
Alila menarik nafas panjang. Oi, nak salam ke silat? Salam perkenalan dan salam perpisahan Mr. Saviour ni lama benar. Ikut konteks Islam memanglah gugur dosa setiap kali bersalam tetapi ini sudah melampaui batas dan syariat. Jantung boleh gugur kalau tengok gaya Jude.
Sambil merungut sempat Alila menilai. Terbuai seketika melihat mata redup Jude.
Siapa pun yang dalam kategori seperti dia, boleh cepat aje ‘move on’ kalau tengok sinar mata lelaki macam Jude ni. Hati Alila terus-terusan menafikan. Nampak sangat Alila membela diri sendiri. Menafikan bahawa mustahil untuk dia jatuh cinta buat kesekian kalinya.
Jude meletakkan kedua-dua tangan ke bahu Alila.
“Awak okey?” soal Jude, berlagak prihatin.
Alila mengangguk dan berlagak normal tetapi sebenarnya satu hari selepas berjumpa Jude dia berasa tidak normal. Renungan itu. Senyuman itu. Suara itu. Segala-galanya mencuri tumpuannya.



SUDAH masuk kali ke-18 agaknya Alila melihat jam di tangan. Tidak sabar menunggu masa rehat. Macam-macam rancangan dalam kepalanya. Hendak berjalan jauh sedikit melayan dim sum di Avenue K atau ‘melayan’ kopi di mana-mana kedai kopi dalam KLCC. Hari ini sudah hari terakhir persidangan Persatuan Hospital Swasta Malaysia atau lebih dikenali dalam industri dengan nama persidangan APHM (Association of Private Hospitals of Malaysia).
“Aku bagi amaran siap-siap kat kau ni. Conference tu memang bosan sangat. Tiap-tiap tahun sejak hospital ni ditubuhkan memang HR akan hantar wakil nursing.”
Ah, Amelia! Benar sekali amaranmu itu. Alila mengeluh dalam hati. Hendak mengelat tidak boleh kerana hari terakhir memang diasingkan persidangan khas untuk klinikal sahaja iaitu Nursing Conference. Kalau hari pertama dan kedua, semua peserta dari pelbagai latar tidak kira klinikal atau bukan klinikal akan berada di dalam dewan yang sama. Waktu itu kalau ingin mengelat pun boleh sangat.
“Alila, jom kita pergi booth Active Scientific kejap lagi?” bisik Ogy, staf bahagian Infection Control.
Persidangan diadakan di dewan yang berlainan dengan dewan pameran. Terdapat banyak booth yang dibuka sepanjang persidangan ini. Ketika inilah ada hospital yang akan memperkenalkan servis mereka. Vendor juga akan memperkenalkan produk kesihatan baru, peralatan mesin baru dan pelbagai lagi pameran berkaitan industri kesihatan.
“Buat apa? Aku dah ada rancanganlah.”
“Aku nak main lucky draw kat situ. Kalau menang dapat health monitoring system yang branded tau. Aku nak bagi hadiah kat mak aku.”
Serius ke?” Suara Alila agak meninggi sedikit tetapi cepat-cepat mulutnya ditutup.
Sangat serius!” Sebutan sangat itu ditekankan Ogy sehingga tujuh harakat juga.
“Bawaklah mak kau screen kat hospital. Ibu bapa kan dapat rawatan percuma.”
“Mak aku kat utara sana. Kau nak aku usung datang KL ni semata-mata nak periksa glukos dan hemoglobin? Hisy tak masuk akal.”
Alila menggeleng. Ini macam pun ada. Ogy antara staf hospital yang dia boleh buat kawan. Sempoi sahaja. Kalau tidak, mana mungkin Ogy boleh sasarkan untuk memenangi cabutan bertuah dengan bersungguh-sungguh begitu.
“Kau ajak budak kat dewan sebelahlah. Aku dah ada rancangan. Maaf, tau.” Alila menolak sopan.
Mereka mewakili gabungan bahagian klinikal dan bukan klinikal, adalah di antara beberapa orang perwakilan. Tajuk persidangan tahun ini Safe and Efficient Hospitals’. Jadi, CEO mereka membawa sekali jurutera biomed hospital, staf IT dan akauntan. Semua dipaksa mendengar ucapan demi kebaikan sejagat dan secebis ilmu. Hari terakhir persidangan, staf klinikal dan bukan klinikal berpisah ke dewan berasingan. Masing-masing perlu mendengar ceramah bahagian yang relevan dengan skop kerja.
“Sure!”
Alila terus menuju ke KLCC sebaik sahaja habis masa rehat. Niat hendak menikmati dim sum dibatalkan. Dalam kepala sudah tahu apa yang hendak ditapau dan di mana kedainya. Selesai membeli makanan Alila menonong menuju ke Taman KLCC. Sejak dua hari dia bertapa di pusat konvensyen ini rasanya hari inilah cuaca paling bagus. Redup dan berangin. Kalau tidak, setiap hari hujan turun.
Alila mengambil tempat di tengah keriuhan orang ramai yang sedang melihat air pancut. Mungkin disebabkan cuaca yang sangat baik, jadi waktu tengah hari pun suasana di situ agak meriah. Sebaik sahaja Alila ingin menyuap Cheese Benedict ke mulut, tiba-tiba seekor kucing Parsi comel menerkam ke kaki Alila. Dia berpusing 360 darjah untuk mencari tuan kucing itu.
Memang kucing anda cantik tapi tak dihargai sebab datang tak berjemput ya. Nak bagi rasa roti kat tangan macam tak kena. Fikir Alila.
Kalau berkaitan dengan kucing, Alila memang tidak serasi. Bukan takut atau geli, cuma tidak serasi dengan jiwa.
“Syoo…” halau Alila sambil menolak kepala kucing yang sedang bergesel di kaki.
“Kucing pun suka awak,” ujar seorang lelaki.
Kucing itu diambil dan dipeluk agar tidak bergesel di kaki si gadis.
 “Terima kasih, thank you, danke, spasibo?” Sekali lagi ucapan terima kasih di dalam bahasa Jerman dan Rusia disebut oleh lelaki itu kerana gadis yang ditolong ini buat dia seakan-akan tidak wujud sahaja. Sama seperti tempoh hari.
Alila berdiri tegap dan kaku seperti terkena renjatan elektrik apabila di hadapannya sekarang adalah lelaki yang sama, dengan ucapan yang sama seperti di hadapan mesin air di hospital tempoh hari.
Jude ketawa. 
Shopping? Lepak ke datang APHM?” Jude meneka.
“APHM. Mana tahu?”
“Tahulah.” Jude senyum.
 “Okay, got to go,balas Alila berbahasa.
“Habiskanlah minuman awak dulu. Roti tu pun belum habis. Hari ni mujur saya tak payah tunjuk skil air gedegang tau,pujuk Jude seakan-akan tidak mahu waktu berlalu pantas.
“Seganlah saya makan dan minum seorang.” Alila beralasan.
“Laa… ramai kan orang kat sini. Kalau segan jom kongsi dengan saya.”
“Excuse me, abang tu kucing saya,” ujar seorang gadis berumur belasan tahun berdiri di hadapan Jude.
“Yeah… here you go, ujar Jude sambil menghulurkan kucing itu kepada si gadis.
“Terima kasih.”
“Sama-sama,” balas Jude dan kembali menghadap Alila.
“Awak tak suka kucing, kan? Nampak sangat.”
“Taklah tak suka tapi saya tengah makan dan saya perlukan my ‘me time’.”
Kalau dia nak berteman, baik dia ikut Ogy pergi main lucky draw aje. Omel hati Alila.
“ ‘Me time’ awak dah jadi ‘us time’ ya.” Jude selamba menarik air di tangan Alila.
“Susu?” Bekas plastik bertulis Dal.Komm dipandang sebelum menikmati airnya.
Alila geleng. Tergamam sampai tidak terkeluar suara sebenarnya.
Then?” Jude terus melegakan tekaknya. Susu pun susulah. Dahaga juga bila nampak air sejuk di tangan Alila.
“Air kopilah. Cube Coffee. Dalam tu ada kiub kopi. Awak kacau nanti perlahan-lahan kiub tu cair dan awak boleh rasa tiga jenis rasa kopi. Paling bawah espresso, tengah latte dan paling atas entah… cuba awak rasa.”
“It is sweet just like you.”  
“Pick up line sangat encik. Hari tu punya pun tak laku lagi.”
Jude tergelak dan mujur tidak tersembur saja air di dalam mulut. Sudah dua kali dia mencuba pick up line dan dia janji memang kali terakhir cuba dengan gadis ini. Gagal teruk! Seronok melihat telatah Alila. Makan langsung tidak mahu mempelawanya. Air itu pun dia ambil dengan muka tebal.
“Saya pergi dululah encik. Jumpa lagi.”
Terasa ingin menampar pipi sendiri kerana nampak sangat dirinya yang mengada-ngada ingin berjumpa lagi. Mereka sama- sama berdiri.
Sure, jumpa lagi.”
“Bye.” Alila nak berlalu pergi.
“Alila… tempoh hari… sebenarnya saya dengar.”
“Saya tak faham.” Alila tidak jadi melangkah dan memandang Juhaidi. Dahinya juga berkerut sekali.
X marks the spot.” Perlahan Jude berbisik ke telinga Alila.
Oh, God!” Alila menutup muka. Dia tahu dia patut angkat kaki sekarang! Pecut!
Jude ketawa nakal sambil matanya mengekori rentak kaki Alila yang berlari menuju masuk ke KLCC sehingga lesap dari pandangan. Jude kemudian menyambung bacaan di skrin telefon. Tadi niatnya melepak di taman memang hendak imbas sedikit teks ucapannya nanti. Tetapi matanya tertarik dengan gerak laku Alila.
Dari jauh dia ternampak Alila mencari-cari tempat duduk untuk minum. Kemudian seekor kucing datang mendekati Alila dan wanita itu kelihatan menghalau-halau manja dan kaki Jude memang gatal hendak melangkah ke sini.
Alilahmm sedap nama tu. Jude menyebut nama Alila sehingga terasa sesuatu di lubuk hati. Sesuatu yang dia rasa sejak pertemuan di A&E dan sungguh dia mengharapkan sebuah pertemuan yang lain. Kalau bukan hari ini rasanya dia akan terjah juga bahagian A&E itu nanti.
Sebenarnya Jude dijemput oleh ECRI Institute untuk memberi ucapan di APHM. Ramai penyelidik dalam pelbagai bidang pernah dijemput untuk memenuhi sesi bahagian teknologi dalam perubatan. Sekiranya dapat sesi yang terakhir jawabnya ramai yang tidak mahu mendengar ucapan, tetapi jamu mata tengok wajah kacak dia sajalah.

ROBOTIC SURGERY: COMPLICATIONS DUE TO INSUFFICIENT TRAINING

Banyak juga isu yang Jude bakal kupas dalam sesi ini. Setiap pengalaman daripada sisi-sisi gelapnya secara halus dimasukkan dalam ucapan agar semua pihak yang bertanggungjawab sedar akan apa yang terjadi di dunia luar. Penat mata menghala ke skrin, Jude memandang lagi ke arah Alila melarikan diri tadi. Mengimbau gaya Alila lari yang bagaikan menjunjung sangkak ayam, boleh pecah perut dibuatnya. Padahal perkara yang dimalukan itu kecil sahaja.

No comments:

Post a Comment

Sweet short story: Something about you

  Cover writing by: Farah Husain DANIELLA dah tak mampu nak tahan gelak. Boleh si adik menyakat kat Instagram selepas dia memuat naik gamba...