LOVE LILA BAB 2 dan BAB 3

05:16





BAB 2











“AKU nak boyfriend macam Tarabas.”
“Mimpilah. Orang tak siuman aje nak bad boy jadi laki. Kalau kau bajet Fantaghiro kau akan pilih stok Romualdo.”
“Pasha, aku main-mainlah. Aku tak pernah pun tengok Cave of Golden Roses tu. Kak Long yang kategori baby boomers tu yang dok canang tak habis-habis minat kategori lelaki macam Tarabas tapi suami sendiri terbabas. Ni dah zaman 2.6 bilion kut. Bukan zaman paleolitik. Tak wujud laki macam Tarabas. Jahat dan bad boy kategori budak zaman sekarang cuma tahap playboy. Bagilah tahap serial killer, witch ke atau vampire ke, baru thrill. Playboy  tu bukan bad boy tapi gatal tau tak.”
Pasha cuma gelak. Mangkuk mi yang dipesannya sudah semakin tinggi, setinggi harapan hendak kahwin cepat. Mereka berdua sudah termasuk dalam kategori anak dara tua. Kalau balik rumah, ibu bapa masing-masing bising takut sangat anak dara mereka tidak laku. Mereka berdua bukan tidak pernah ada kekasih tetapi ingin mencari yang boleh dijadikan calon suami itu yang nan hado.
Sekarang tekanan Pasha kurang sedikit sebab kekasih hati sudah ada iaitu yang di depan dia ini yang baru naik taraf single-mingle. Wanita ini tidak nampak cahaya hendak dapat kekasih baharu. Banyak sebab sebenarnya yang menjadi faktor mereka masih begini. Contohnya, dek kesibukan jadual kerja yang tidak menentu, sangat memilih dan faktor paling kritikal ialah serik bertemu dengan lelaki yang mata keranjang. Pasha tahu Alila sudah serik. Dia mahu yang ada x-factor. Mahu yang sekali tengok sudah ada aura. Kalau tengok terjatuh cinta dengan suami orang? X-factorlah sangat.
“Sekurang-kurangnya lega aku dengar kau dah move on. Dah boleh berangan pasal Tarabas segala tu okeylah.”
Alila tersenyum tetapi matanya ralit ke meja. Ya, hidup mesti diteruskan. Kali ni dia nak ikut sahaja gerak nalurinya. Apa yang paling utama ialah jangan mengada-ngada hendak cari kekasih yang kaya-raya macam Amar lagi. Sayang takkan ke mana kalau sudah nyata tidak sekufu. Alila terpaksa akur dengan kenyataan bahawa masih wujud manusia berfikiran jumud di zaman ini.
“Kau tengok apa macam tak berkelip?” tanya Pasha dengan mulut yang penuh dengan mi.
Bukannya restoran Boat Noodle itu menggunakan mangkuk berjenama Portmeirion pun. Corak di mangkuk itu mungkin kelihatan ala-ala jenama Portmeirion tetapi memang bukan. Yang lebih layak untuk dibandingkan ialah pinggan mangkuk viral yang berwarni-warni di jual di Central Market suatu ketika dulu.
“Mangkuk-mangkuk yang dia orang guna ni hah, macam tak cukup sifatlah. Tajam-tajam aje hujung. Silap hari bulan ada yang terluka tak pun berderai.”
“Darah… darah… oh my God!”
Tidak sempat habis ayat dan belum pun lagi Alila meletakkan mangkuk yang sudah licin ke meja, terdengar jeritan daripada pelanggan yang duduk di belakangnya.
Kan dah cakap, mangkuk yang dia orang hidangkan ni kualiti rendah sangat. Nasiblah tempat makan hipster. Makanan Thai kena dengan selera ramai jadi memang meletuplah nama restoran Boat Noodle. Getus hati Alila.
Restoran ini menawarkan menu paling popular iaitu rice noodle dengan dua jenis kuah. Satu soy sauce (masin dan pedas sedikit) tetapi sangat sedap. Satu lagi kuahnya agak manis. Nama pun agak pelik dan janggal disebut. Ada daging dan ayam. Saiz mi dalam satu hidangan sedikit saja. Dua kali telan, selamat masuk perut. Harga semangkuk mi adalah RM1.90. Biasanya paling sedikit yang dipesan oleh pelanggan adalah tiga mangkuk. 
Sudah menjadi kegilaan pula kalau boleh menyusun mangkuk mi setinggi mungkin.
Menjadi sangat kut pemasaran Boat Noodle. Letak secoet mi semangkuk kemudian nak bagi kenyang kena pesan 13 juta mangkuk. Okey, over kau Alila! Macam-macam yang berlegar di fikiran Alila sebelum memandang ke meja belakang. Ingin melihat betul atau tidak tekaannya tadi. Tepat sekali tekaannya dan mujurlah si gadis yang berteriak minta tolong sebentar tadi sudah siap ada Mr. Saviour.
“X marks the spot.” Laju mulut Alila berkata apabila terpandang Mr. Saviour.   Alila cepat-cepat menutup mulut. Kuat sangatkah dia bercakap sampai mata redup si dia mencari sepasang matanya dan akhirnya pandangan mereka bersabung. Alila mengalah seraya merendahkan pandangan matanya.
“Lila… darah macam banyak tu. Tolonglah. Kau kan nurse.” Terjerit pula Pasha dalam restoran ni apabila melihat suasana dah agak kelam-kabut.
Restoran memang penuh ketika itu. Rakannya di depan ini nama saja jururawat terlatih tetapi boleh dia buat tidak peduli pula. Alila mengangkat jari telunjuk cepat minta Pasha diam.
Hanya dengan mimik muka, Alila mengajuk, “Oh my God! Oh my God!”
Pasha tergelak sehingga hampir tersembur makanan di dalam mulutnya. Tengah kritikal macam ni boleh pula Alila buat kelakar.
“Syy…”
Alila berpaling ke belakang sekali lagi tapi apabila melihat Mr. Saviour yang sudah bergerak dari tempat duduk dan kini betul-betul berada di belakangnya, yang terkeluar dari mulut sungguh dia sendiri tidak sedar.
“Aku takut darah.” Alila terus tunduk sambil mengacau straw dalam air kegemarannya iaitu Ice Blended Green Tea.
Sahlah mamat ni sibuk duk tolong awek tu, buat apa dia nak jadi tukang sibuk. Omel hati Alila.
“Kau ni kan.” Pasha geram melihat muka tidak bersalah Alila.
Alila angkat tangan, lambai tanda ‘peace’.
“Aku baru lepas shift kut. Bagi mukalah sikit,” balas Alila dalam nada berbisik.
Alila kembali meneruskan kunyahan yang terhenti. Dalam hati, dia mengagumi Mr. Saviour yang sangat cool. Punyalah awek tu gelabah tapi dia punya reaksi macam awek tu kena gigit semut aje.
Darah juga banyak menitik ke meja kerana mangkuk yang pecah tadi berlaga dengan mangkuk lain yang bersusun di depan mereka itu. Meja makan mereka kelihatan seperti tapak perang laki-bini. Pekerja restoran pula riuh di meja belakang mula menghulurkan bantuan.
Kembang telinga Alila kerana cuba memasang telinga, ingin mendengar suara Mr. Saviour tetapi sepatah haram pun tidak didengarinya.
Tengah buat ‘silent treatment’ dengan awek atau memang stok lelaki istimewa? Orang cacat pekak, bisu kan jatuh dalam kategori istimewa. Omel hatinya.
Atas kesedaran sivik yang sangat minima tetapi semangat ingin tahu yang tinggi, Alila dengan malas-malas menyelongkar beg tangan dan mengeluarkan sekeping plaster berwarna neon pink.
Kalau warna-warni macam ni jangan sangka aku cilok hospital punya ya. Ini hak milik peribadi. Omel hati Alila lagi.
“Nah, cukup tak satu?” Jiwa kejururawatan menyerlah juga akhirnya.
Mr. Saviour angkat jari telunjuk dan tengah.
Maknanya nak dualah tu. Huh! Menyesal tanya. Rungut hati Alila. Dia mengambil satu lagi plaster dari dalam beg dan menghulurkan kepada lelaki itu.
“Terima kasih,” ucap wanita itu.
Aduh! Perempuan tu pulak yang jawab. Misi nak move on one more step tak berjaya. Mesti hantu raya mommy Amar merayap dalam Boat Noodle kacau line dia. Hati Alila merungut, masih belum melupakan sepenuhnya kisah cinta terlarangnya.


AMAR memandang sekeliling. Mencari kelibat Soraya. Dari jauh dia nampak Soraya ayu melangkah dengan skirt labuh berjalur menegak dipadankan dengan baju ala kimono berwarna coklat gelap. Anggun dan sopan. Jauh bezanya dengan Alila yang ringkas orangnya. Kalau hendak melihat Alila berskirt, siap kena buat permintaan. Bagusnya Alila pula, dia layankan sahaja walaupun merungut sedikit. Orang sudah biasa beruniform, agaknya memang tidak suka melawa lebih-lebih.
Kisah mereka nampaknya benar-benar berakhir di bumi bersejarah Melaka.
“Hai…”
“Assalamualaikum Dr. Soraya,” balas Amar, membetulkan sapaan Soraya.
Yeah… my bad. Waalaikumussalam Amar. Jangan nak berdoktor dengan I ya. Berapa kali I dah pesan ni.”  Soraya menegur dengan senyuman yang masih meleret.
Amar terus memecut kereta ke destinasi.
“I tukar siaran boleh? Light FM ni mengantuk sangat. Mix FM okey tak?”
Amar mengangguk sahaja dan tangan Soraya terus menekan punat radio mencari siaran Mix FM.
Daddy dengan mommy you sihat?”
“Sihat semua. I ingat you selalu jumpa mommy?”
“I terperuk dalam OT tak pun ICU atau CCU, mana nak keluar merayap ke lain kalau tak ada urusan. Jarang sangatlah jumpa.”
Amar mengangguk sahaja. Dia kagum dengan Soraya yang memilih bidang yang kurang popular ini. Tidak ramai doktor yang memilih untuk menjadi pakar anestesiologi atau pakar bius ini. Malaysia sangat kekurangan tenaga mahir dalam bidang ini. Peratusan pakar bius dengan pesakit memang tidak seimbang.
“You antara ‘budak OT’ yang sempat menikmati kehidupan yang normal contohnya pergi dating.”
Soraya ketawa mendengar komen daripada Amar. Dia sangat memahami persepsi setiap orang. Tidak kira sama ada kategori doktor, jururawat atau kerani yang bekerja dalam kompleks OT memang dilabel tidak ada ‘life’ walaupun hakikatnya itulah kehidupan normal mereka.
Orang cakap, alah biasa tegal biasa. Siapa yang cakap pakar bius tidak menikmati kehidupan normal itu sangat salah. Lihat sahaja isteri kepada angkasawan negara, hidup meriah bukan main. Follower di Instagram pun mencecah 205 ribu orang. Memang kalah artis ‘sendu’ sekiranya hendak menyaingi wanita itu.
Selain itu, ramai lagi doktor perempuan yang sempat berkongsi OOTD (Outfit Of The Day) di Instagram setiap hari. Persepsi versus realiti selalu berbeza kerana kehidupan seseorang ditentukan oleh tuan punya badan. Dalam kes ni Soraya terkejut kerana Amar berfikiran begitu. Agaknya bagaimana penampilan bekas kekasih separuh nyawanya dulu? Cantikkah? Bergayakah? Pucuk pangkalnya, sudahkah Amar melepaskan segalanya pergi?


HANDSOME kut Tarabas. Patutlah kak long suka sangat. Kau agak Pasha, Mr. Saviour kat belakang ni lagi handsome ke Tarabas lagi handsome?” soal Alila sambil tersengih nakal.
Dia menghulurkan telefon yang skrin terpapar wajah Nicholas Rogers yang memegang watak Tarabas. Sempat dia mencari di Google!
Pasha tersedak.
“Gila kau ni. Ini zaman apa? Kau bandingkan manusia zaman kuno dengan manusia zaman kontemporari buat apa?”
Syy…” Alila pantas menegakkan jari telunjuk ke bibir.
“Huh! Muka bersegi dengan rahang bersudut. Alis pulak elok terbentuk. Hidung dah sama mancung. Mata mamat tu tak sesepet Tarabas dan kulit pun tak secerah Tarabas. Jadi aku rasa mamat belakang kau tu lelaki Melayu kontemporari yang lagi kacak daripada Tarabas. Tak ada maknanya nak banding dengan Tarabas yang dah sebaya abah kau,” ujar Pasha, gigih membuat perbandingan.
Tarabas tua pun kacak kut masa zaman muda dia. Hati Alila terus merungut.
Dia tersenyum sendiri. Gilakan Tarabas umpamanya hanya di  abun-abun. 






BAB 3




ALILA termenung di hujung pantri. Ingatkan tempat kerja baharu penuh ketenangan, rupa–rupanya kisah lamanya tetap mengekori. Mungkin Kinah dan Zahira tidak perasan kehadirannya di sebalik pintu pantri. Tangan yang hampir menolak pintu terkaku apabila mendengar namanya disebut.
“Tak percayalah Sister Alila macam tu.”
“Aku pun tak percaya. Nampak lemah lembut dan baik orangnya tapi betul kawan aku yang kerja kat hospital lama Sister Alila, beritahu.”
“Habis tu kau rasa dia masuk sini pun MD (Medical Director) hospital sana yang recommend kat PIC (Person in Charge) kita ke?”
“Agaknyalah kut. Baru masuk terus naik jadi DM (Department Manager). Kak Yus yang dah lama tunggu jawatan tu sedih, tahu tak. Sister Alila dahlah muda lagi, masuk-masuk terus dapat jawatan tu.”
“Eh, taklah. Dia anak dara tua tapi nampak memang awet muda. Badan solid memanglah. Rupa pulak cun. Bab-bab kerja aku rasa Sister Alila pun ada pengalaman yang hebat. Dia kan pernah kerja kat Mount E tapi yalah kalau masuk pakai kroni memang tak cantiklah.”
Alila tarik nafas dalam. Dia orang tak tahu ke kelayakannya yang sebenar? Zaman sekarang kalau pergi hospital kerajaan pun samalah. Bersepah misi yang ada ijazah. Pangkat gaji lagi tinggilah daripada Matron yang dah lama kerja tapi tak ada kelulusan tinggi. Zaman dulukan tahap jururawat paling tinggi pun post basic sahaja. Naik ikut pengalaman. Rungut hati Alila.
Mata dipejamkan. Aku anak dara tua? Eii… sama macam papa dan mama. Tak habis-habis nak ungkit. Relakslah. Zaman sekarang janji badan pandai jaga, tak kisahlah umur berapa pun. Lagipun hospital swasta baharu, mana sama konsep dengan hospital kerajaan. Tak payah tunggu nak menopause baru boleh jadi ketua jabatan. Siapa cekap, ada kelulusan dan ada pula pengalaman kerja yang hebat dan rekod perkhidmatan cemerlang memang mudah naik pangkat. Hati Alila terus mengomel.
Kalau dia tidak masuk ke pantri, lagi panjang umpatan mereka berdua. Alila menarik nafas panjang.
Dengan nada suara berbaur arahan dia terus berkata, “Ada beberapa orang penjaga kepada pesakit yang ada sindrom ‘manjalitis’ tengah ganggu Wawa kerja dan menyibuk sebelah pesakit. Dr. Zaidi dah bising. Boleh kamu berdua bantu kat luar?”
Kinah dan Zahira mengangguk tanpa sebarang kata dan terus meluru keluar pantri.
Alila memicit cecair pencuci tangan yang ada di singki sebelum duduk. Niatnya hendak minum secawan air. Kalau baru keluar dari Red Zone memang penat. Staf di Red Zone agak ramai juga tadi. Tetapi konsultan iaitu Dr. Hasan masih mahukan dia membantu. Padahal pesakit Dr. Hasan telah disaring dan dirawat oleh MO (Medical Officer). Tetapi kecohnya berlebihan seakan-akan menidakkan kerja yang telah dilakukan oleh MO.
Macamlah hanya pesakit dia seorang yang perlukan perhatian. Sajalah tu buat-buat tak nampak suasana sebenar A&E yang sedang kecoh dengan ramai pesakit. Rungut hati Alila.
Arahannya kepada Kinah dan Zahira bukanlah serius. Tetapi sekiranya penjaga membuat kekecohan, dia sebagai ketua di bahagian Accident & Emergency (A&E) yang perlu berhadapan dengan pihak atasan. Kerja di hospital swasta perlu sentiasa bermanis mulut walaupun dalam keadaan kritikal dan sangat sibuk.
“Ouch!” Alila terjerit kecil.
Rupa-rupanya ada luka kecil di tangan. Langsung dia tidak perasan. Seingatnya, semasa dia melakukan kerja tadi dia memakai sarung tangan. Bila masa pulak luka?
Walaupun lukanya sangat kecil dan hampir tidak nampak, hanya TUHAN yang tahu pedihnya disiram dengan cecair pencuci tangan itu. Terasa sangat seksa. Itulah antara hal yang paling tidak digemari oleh ‘cik misi’. Haru!
Kertas tisu ditarik dan Alila duduk. Dia tidak boleh berlama-lama di pantry. Sebentar lagi pasti banyak kes masuk. Telefon bimbit yang disenyapkan nada dering dikeluarkan dari poket uniform.
Alila baru teringat dia tidak pernah pun memadam gambar kenangannya bersama Amar. Masih penuh memori telefon dengan gambarnya bersama Amar. Perlahan-lahan Alila membelek gambar-gambar itu dan kemudian menekan ikon tong sampah di sebelah kanan skrin. Lenguh juga jari telunjuknya bergerak di skrin telefon.
Sampai ke gambar terakhir, jari telunjuknya teragak-agak. Gambar swafoto mereka berdua. Alila yang memaksa Amar keluar makan malam sempena Hari Kekasih. Amar sememangnya budak baik dan tidak pernah menjadikan 14 Februari sebagai hari untuk meraikan apa-apa di antara mereka. Cuma Alila yang jenis harung sahaja segala benda.
Sesungguhnya kedegilannya menjadikan hari itu hari terakhir buat mereka. Sampai hati Amar tidak pernah berterus-terang. Betul cakap mamanya, jangan cari orang kaya nanti susah. Orang kaya, walau sebaik mana pun mereka, nanti dicarinya juga pasangan yang sekufu.
Alila tidak jadi memadamkan gambar yang terakhir. Bukannya dia tidak boleh menerima kenyataan. Tetapi, biarlah gambar itu dijadikan peringatan. Hendak mencari pasangan biarlah sepadan. Dirinya hanya orang kebanyakan sahaja. Bekerja sebagai jururawat, setakat kuli, mana padan dengan doktor.
Kalau ada kes jururawat berkahwin dengan doktor pun, mungkin doktor itu biasa-biasa sahaja, tidak ada ibu bapa yang merasakan diri mereka hebat seperti ibu bapa Amar. Enggang biar terbang bersama enggang, pipit terbanglah mencari pasangan pipit yang lain.
Alila malas hendak melayan kisah Aku Seekor Pipit. Cawan dibasuh dan keluar sahaja dari pantri, Alila disapa mesra oleh PIC yang nampaknya sedang ralit berbual dengan Dato’ Ng.
“Alila, sini.”
Automatik pandangan Alila bersabung dengan Kinah. Inilah yang dikatakan speaking of the devil. Tak pasal-pasal Alila rasa kehadiran PIC mereka, Dr. Shahran sangat tidak kena pada masanya. Nampak sangat kehadiran lelaki itu mengiakan gosip Kinah dan Zahira sebentar tadi.
Sungguh di awal perkenalan dia tidak pernah tahu Amar anak kepada MD tempat dia bekerja. Bagi Alila, kalau sudah suka, tidak ada masa hendak melihat hal lain. Dia memang suka pada Amar yang sangat baik orangnya, tetapi dia tidak pula peduli siapa ibu bapa Amar. Dia hanyalah seorang jururawat. Tentulah doktor hebat seperti ayah Amar tidak akan memandangnya.
Jawatan MD dipandang tinggi oleh setiap individu kerana itulah pangkat bagi bidang klinikal yang paling tinggi. Ada dua pangkat sahaja dalam sesebuah hospital yang menerajui tampuk pimpinan paling tinggi iaitu MD atau PIC dan Chief Executive Officer (CEO) atau Executice Director (ED). Seorang jaga bahagian klinikal, seorang jaga bahagian operasi. Kalau di hospital kerajaan lain pula gelarannya. Bertingkat-tingkat lagi jawatan utama dalam sektor kerajaan.
“Alila, macam mana kerja kat sini setakat ni?”
Alila tersenyum sebelum menjawab. Ketika dia masih seorang jururawat junior dahulu, memang dia sangat takut sekiranya mana-mana doktor mengingati namanya. Dia selalu berdoa agar setiap doktor lupa akan namanya. Maklumlah ketika itu semua urusan masih belum efisien. Memang takut disergah dan disuruh melakukan pelbagai hal.
“Okey Doktor. I’m doing great.”
“Hospital kita dah banyak upgrade dan setakat ni yang paling canggih. We are ready for a more competitive market,” ujar Dr. Shahran dengan menunjukkan semangat yang tinggi. Maklumlah, kini semakin banyak hospital swasta dibina. Jadi pesakit mempunyai banyak pilihan. Perlu ada sesuatu yang istimewa barulah boleh menarik minat pesakit untuk datang.
Perbualan kosong akhirnya melencong ke arah kerja. Apatah lagi Dr. Ng beria-ia bercerita tentang pesakit terbaharunya. Dr. Shahran pula beria-ia mengangguk. Pesakit membawa maksud duit dan setiap jenis prosedur yang doktor lakukan ialah duit. Lebih banyak prosedur, lebih banyak caj dan lebih mahal bil rawatan pesakit. Sekiranya tiada duit, pesakit perlu reda sajalah melangkah ke hospital kerajaan yang hakikatnya tidak kurang hebatnya dari segi servis klinikal.
“Awak tahu bila mesyuarat aset akan diadakan?”
Alila menggeleng tanda tidak tahu. Dia cuma akan dijemput sekiranya department A&E ingin membeli mesin baharu dan dia pula bukan ahli jawatankuasa mesyuarat aset.

“Dr. Ng, you tahu tak kita sedang bersaing dengan IJN untuk membeli mesin pembedahan robotik yang terbaru?” soal Dr. Shahran. 
Alila hendak mengatur langkah untuk beredar dari situ. Dia tidak mahu mendengar tentang urusan barang yang tiada kena-mengena dengan A&E.
“Doktor, saya jalan dulu. Nak cari plaster, luka sikit ni,” beritahu Alila sambil menunjuk luka yang tidak seberapa itu. Dia sengaja mencari alasan.
“Okey, jangan sampai terkena infection pulak. Have a great day ya.”
You too, doc,” balas Alila kemudian berlalu dan menepuk pipi sendiri.
Plaster? Dia sendiri tidak percaya dengan alasannya tadi. Macam dia pula yang ada penyakit terlebih manja kerana luka sedikit pun beria-ia mahu diplaster.
Alila menuju ke kaunter di tengah-tengah A&E.
“Tolong hulurkan saya plaster tu.”
“Aik sister, kata hospital punya tak best, stok pink sister mana?”
“Oh, saya bagi kat Mr… ah… tak ada apa-apalah. Bagi aje kat saya.”
Alila dengan hati-hati menampal plaster sambil fikirannya menerawang. Boleh pula fikirannya membuat ulang tayang setiap gerak laku Mr. Saviour. Kerutan di dahinya, anggukannya, wajah selambanya yang meminta dua plaster sedangkan Alila beri satu sahaja. Paling penting adalah senyuman dua saat yang dilemparkan sebelum Alila cepat-cepat mengalih pandangan ke arah Pasha bermain-main di fikirannya.


JUDE hampir-hampir menendang kaki meja di depannya namun mujurlah wajah ceria si adik menenangkan jiwa, mengingatkan dirinya agar terus bersabar.

LET A HUNDRED FLOWERS BLOOM.

Tulisan dengan huruf besar di skrin telefon seakan-akan memomokkan Jude. Permainan duniawi yang memerangkap hidupnya sekian lama. Bermula dengan tiada sebarang perasaan sehingga membawa rasa yang Jude tidak sanggup lagi memikirkan berapa banyak dosanya terhadap manusia yang tidak pernah pun dikenalinya. Mereka fikir dia bodoh? Mereka fikir ini semua kebetulan? Kenapa dia? Kenapa?
“Betul tak nak ikut?”
Jude menggeleng. Mata dipejam lama seumpama menahan diri daripada meledakkan amarah yang terpendam. Saat mata dibuka, wajah ceria terpampang. Kelihatan sangat teruja dengan percutian keluarga yang sedang dirancang.
“Kita orang akan singgah jemput Juita kat Singapore, kemudian terus terbang ke Melbourne. June tunggu kat sana terus. Rugilah abang tak ikut. Kali ini kita orang punya rancangan gempak gila tau. Never ending party sambil menikmati permandangan yang paling indah di Melbourne dan banyak lagi dalam senarai.
“Abang baru dapat panggilan dari ibu pejabat. Abang nak kena kerja,” balas Jude, mengawal riak sambil merujuk ke telefon bimbit di tangan.
Julia mengangguk sambil membelek plaster merah jambu yang masih di jari. Lasak betul plaster ni. Dah berapa hari pakai buat mandi pun masih elok.
“Pergi mana? Balik U.S ke?”
“Moscow.” Jude kerling ke arah plaster merah jambu di jari si adik lantas senyuman nipis tersungging di bibir.

“Moscow? Wah, tiba-tiba Julia rasa Melbourne dah tak menarik!” Tinggi suara Julia melantun diiringi ketawa kuat. Kalaulah boleh nampak di udara frekuensi suara tu mesti kelakar.
Jude mengangguk. Sudah lama Julia dan adik-adiknya yang lain sibuk ingin pergi ke St. Petersburg tetapi dia tidak pernah melayan. Rusia dan segala kenangan yang ada di sana menjadikannya tempat terakhir dalam senarai pilihan Jude untuk pergi bercuti melainkan zaman bersama Sean dan Jijie. Kali ini disebabkan kerja, jadi dia terpaksa!
Pengalaman pertama di sana yang sepatutnya menjadi kenangan zaman remaja yang indah telah tersemat menjadi kenangan yang paling pahit.
“Penat kut bang, kerja based kat U.S. Kejap travel ke Jerman, lepas tu Moscow. Tu baru Julia sebut negara yang merentas benua, yang lain-lain tempat abang pergi tu? Nak bujang sampai ke mati abang kalau terus macam ni? Kenapa tak kerja dengan Brown aje? Common, daddy tak hantar pun abang belajar sampai Imperial untuk jadi kuli orang forever.”
“Julia, abang pun tak rancang nak jadi kuli orang forever. Nak jugak jadi bos,” balas Jude, sengaja menekan perkataan forever.
Dia pun memang tidak akan lama di Intuitive Surgical. Tekanan yang diterima rasanya sudah sampai ke penghujung. Biar apa pun taruhannya, I want my freedom back! Hati Jude memberontak.
Jude melirik ke arah Julia dan melemparkan senyuman. Mata kembali beralih ke skrin telefon bimbit. Tetingkap WhatsApp ditutup berganti dengan The Star Online. Berita yang terpapar di skrin sangat menarik perhatiannya.

MOSCOW - Last 2012, Intuitive Surgical, the inventor of da Vinci has lost its monopoly right for the production of such systems and they became more available to medical experts. The specialist believes in this, but then came the latest da Love. From da Vinci to da Love, there are hardly any chances for the system to be made in Russia - the Russian robotic technology in this field lags far behind the foreign competitors.
Russian surgeons are known as wizards for their hands, but the current development of the robotic technology in the world may deprive them of their reputation in a blink of an eye.

“Daddy, pujuklah Jude ikut kita. Please…” rayu Julia sambil berdiri dan menarik tangan Encik Jayden ke arah Jude.
“Apa?” Jude buat muka tak bersalah.
“Kita tengah pujuk ni. Tak nampak?”
“Tak.” Jude beralih sedikit, memberi ruang agar Encik Jayden duduk di sebelahnya.
“Nak ke mana pula kali ni?”
“Moscow. Boltkin beli mesin baru. Team installation diminta turun. Ada masalah katanya,” jelas Jude, ringkas.
Encik Jayden serius memandang anak lelaki sulungnya.
“Tak stabil? Ingatkan lagi bagus daripada da Vinci.”
“Sepatutnya macam tulah tapi ni lebih kepada Intuitive nak balik kuasa monopoli. Jadi yang dia orang upgrade cuma dari segi imej dan perkakasan. Looks more robotic-friendly than da Vinci. Imej yang lagi jelas tu yang jadi modal utama pasaran. Nak dipendekkan cerita, benda lain semua sama.”
“Daddy dengar mesin baru tu pun nak masuk pasaran Malaysia. Betul ke?”
Jude mengangguk. Setakat ini, hanya ada tiga buah mesin da Vinci di Malaysia dan mesin robot tercanggih yang baru diluluskan oleh FDA (Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat) sedang dalam perebutan antara IJN dan pusat perubatan swasta terkemuka di Malaysia. Siapa pun yang dapat, yang untung tetap dia. Inilah peluang terbaik untuk berada di tanah air sendiri. Jude tidak kisah pun sekiranya turun pangkat daripada penyelidik terkemuka kepada bahagian operasi. Kepakarannya amat diperlukan dan adanya dia di tanah air sendiri akan menguntungkan negara dalam pelbagai aspek.
“Daddy, cerita bola lagi baguslah. Cerita kerja bosan.”
“Hmm… sebab dah tahu ending cerita mesti daddy suruh Jude balik kerja dengan Brown kan?”
“Betul tu daddy. Paksa aje abang tu.” Julia menyampuk.
“Ok… bola kita ni apa cerita terkini?”
“Qu Puteh daddy,” ujar Julia, tersengih lebar. Perli sebenarnya.
Dunia sukan tiba-tiba meriah dengan penaja utama pasukan negeri. Jarang terjadi dalam sukan tanah air penaja lagi popular daripada pasukan tajaan.
“Harapnya musim baru liga Malaysia ni semacam ada satu aura yang berbeza. Bukan terhad kepada penaja yang popular semata-mata.”
“Yalah daddy, Jude pun dah naik malas nak layan liga ni. Harap-harap apa berlaku di atas padang sama hebat dengan aura yang terpancar, bukan yang berlaku di luar padang, di luar stadium, dalam terowong dan sebagainya yang hebat. Moga ada minat nak layan bola tempatan semula,” ujar Jude dengan maksud yang mendalam.
Tidak sampai 15 minit bermalasan dan berborak daripada topik bola sehingga berpatah balik ke topik Melbourne, Jude mendapat panggilan telefon dengan membawa berita yang sekian lama ditunggu.
“Kejap ya daddy,” ujar Jude sopan, meminta izin untuk menjawab telefon.
Encik Jayden hanya mengangguk.
“Kau yakin ke betul?” Jude bertanya untuk kesekian kalinya.
“Daddy kau tu macam dekan di bawah pangkal buluh. Hati-hati,” pesan Encik Bakar, penyiasat upahan Jude. Dia ketawa ketika mengingatkan Jude.
Jude pula lelah mentafsirkan peribahasa. Ikut situasinya sekarang, yang paling logik ialah mungkin Encik Bakar merujuk kepada sikap Encik Jayden yang sangat pandai berahsia. 













You Might Also Like

0 comments

Like us on Facebook

Flickr Images

Subscribe