Saturday, 23 December 2017

LOVE LILA BAB 5



BAB 5











MUDAH benar gadis jatuh suka dengannya dan orang itu termasuklah Alila. Itu pandangan yang Jude tafsir daripada ungkapan Alila. Bukan Jude yang serba pakarlah, kalau dalam jarak tidak sampai satu meter dia tidak boleh mendengar setiap patah yang keluar dari mulut Alila tempoh hari.

X marks the spot. 

Ucapan yang sering disebut orang sekiranya terjumpa sesuatu yang sudah lama dicari. Jude tersenyum.
Kalau terjumpa barang hilang, orang cakap ‘X marks the spot’. Kalau terjumpa lelaki idaman macam Jude, pastilah awek tu pun akan cakap ‘X marks the spot’. Mesti dah lama tercari-cari lelaki seperti dia. Fikir Jude.
Dia tersenyum lagi. Syok sendiri pun ada. Maklumlah, reaksi seperti Alila sangat biasa bagi Jude.
Kenapalah lupa nak minta nombor telefon Alila? Dia sendiri terkejut apabila melihat kelibat Alila di pekarangan A&E dan di KLCC. Semasa pertemuan di A&E, tidak sampai seminit menganalisa dari belakang, Jude pasti gadis itu yang ditemuinya di restoran Boat Noodle, Publika. Penuh keyakinan Jude menghampiri dan telahannya benar belaka. Senyumannya yang manis memang boleh membuatkan orang sakit terus sembuh. Sedang menguap pun tampak sangat comel. Sedang menguis-nguis kucing supaya menjauh pun kelihatan ayu.
Terkenang kembali gerak laku Alila tempoh hari. Riuh bercerita dengan kawannya. Tidak pula dia dengar dengan jelas perbualan mereka tetapi tampak sungguh gembira. Lagaknya seperti budak-budak remaja keluar lepak. Kalau dia tidak dengar apa yang Alila cakap sewaktu dia sedang membantu Julia, Alila tidak akan melekat sangat dalam ingatannya. Tetapi ayat Alila yang spontan itu sungguh berani.
Tak bajet ayu langsung. Omel hati Jude.
Degupan jantung Jude terasa lebih kencang daripada biasa. Dada dipegang. Jari telunjuk dan jari tengah tangan kanannya diletakkan ke leher. Mencari urat nadi dan cuba mengira denyutan jantung sendiri. Normalkah? Kalau normal dan kesihatannya baik-baik sahaja, maka adakah ini perasaan cinta? Adakah hatinya telah terpaut dengan Alila? Jatuh cinta dengan jururawat? Oh, come on Jude! Malas nak fikir sangat, Jude menolak daun pintu balik. Tidak boleh dilayan sangat perasaan yang sedang beraja ini. 



BAGASI berjenama Ghurka disandar ke dinding bilik. Sempat Jude mengira masa berbaki sebelum penerbangannya ke Moscow. Dia berasa masih sempat untuk melakukan sesuatu. Memang sengaja dia bersiap awal. Kunci kereta dikeluarkan daripada poket seluar jean.
“Nak kami hantar tak?”
“Gosh!” ucap Jude sambil mengurut dada. Dahi Julia ditunjal perlahan.
“Sakitlah bang.”
“Tak payah hantar. Abang telefon teksi nanti.”
“Beg tinggal dalam, ni nak pergi mana? Selekeh pulak tu,” bebel Julia sambil mengekori langkah tegap Jude menuruni anak tangga.
Suka sangat Jude dengan t-shirt hitam bertulis Stussy berwarna putih di dada. T-shirt itu juga kelihatan agak nipis tetapi setiap kali ingin berjalan jauh, itu antara t-shirt buruk kegemaran Jude. Jude mempunyai dua atau tiga helai lagi t-shirt yang serupa. Julia terasa seperti ingin menyuruh Mak Ifah menghumban t-shirt itu ke tong sampah. Tetapi tidak ada siapa berani mengusik barang Jude.
“Adalah… hah… dah alang-alang sibuk tanya itu, ini, abang nak tanya, kat mana boleh dapat bunga ros merah paling cantik kat Malaysia?”
“Gila betul!” Julia tergelak tetapi dalam hatinya sangat terkejut. Terus wajah June terbayang di ruang mata.
Please…”Jude berpaling. Kedua-dua belah tangan si adik dipegang. Pertolongan Julia sangat diharapkan.
“Aik, tak biasa bagi bunga kat awek ke?”
“Kali ni berbeza. I want the best. Only the best but it has to be the nearest I can get now.”
Kening Julia berkerut-kerut berfikir.
“Julia, tolong abang okey. Kedai depan tu agak-agak ada tak? Abang cuma nak bagi dia, lepas tu terus balik nak kejar flight.”
“Dia tu siapa?” soal Julia ingin tahu.
Jude mengangkat bahu. Rahsia! Mana boleh beritahu selagi belum ada dalam genggaman.
“Okey, cuba Julia fikir mana nak dapat.” Jude menggesa Julia.
“Abang cuba cari kat kedai depan taman rumah kita ajelah. Blok paling hujung tu ada kedai bunga. Minta aje bunga ros merah import. Kalau yang tempatan tak cantik sangat dan tak tahan lama. Kalau dia suruh abang pilih, ambil kelopak yang gemuk-gemuk, bukan yang lonjong. Kelopak lonjong kalau dah kembang tak cantik.”
“Wah! Terima kasih.” Jude angkat tangan tanda tabik.
Berjela ayat Julia bercerita pasal bunga. Adat perempuan dan bunga memang tidak boleh dipisahkan. Julia mengiringi Jude sehingga ke pekarangan garaj.
“La… Pak Man mana? Kereta daddy halang kereta abang ni.” Jude melilau mencari orang kuat daddy, Luqman.
Pakcik Luqman orang penting di dalam rumah mereka. Dia bukan pengawal keselamatan ataupun pemandu semata-mata kerana dia serba boleh orangnya. Jadi dia menjadi orang penting bagi keluarga mereka.
Julia tersengih. Jenuhlah hendak keluarkan kereta satu per satu. Dua buah kereta daddy elok tersusun di belakang kereta Jude.
“Julia, pergi ambil kunci kereta Pak Man. Abang bawak Honda dia ni ajelah. Cepat.” Jude menolak bahu Julia.
Konsep hartamu hartaku jua boleh diguna pakai saat ini.
  

JUDE menapak ke pintu masuk A&E dengan harapan Alila ada di sana.
Janganlah cakap Alila cuti ke, baru habis syif jadi dah balik ke. Mahu tak tenteram jiwa dan raga kat Moscow nanti. Jude mengomel dalam hati.
“Hai, Selamat Pagi. Boleh saya jumpa Alila?  Dia kerja tak hari ni?” soal Jude sambil melemparkan senyuman manis kepada seorang staf berbangsa Cina di kaunter utama A&E.
“Tunggu sekejap ya encik.” Si gadis berlenggang meninggalkan kaunter A&E untuk mencari Alila.
Jude menarik nafas lega. Pertama sekali, semestinya kerana Alila ada di tempat kerja dan keduanya kerana dia tidak ditanya soalan pelik-pelik. Kalau ditanya kenapa ingin berjumpa Alila? Siapa dirinya? Apa yang harus dijawab?
Jude berjalan ke hujung A&E menghadap skrin televisyen besar. Ralit pula Jude menganalisa servis yang ditawarkan oleh hospital ini. Apabila nama Dato’ Dr. Fairus Tan terpapar di skrin, ingatan Jude melayang jauh.
Alila berdiri di belakang Jude lama. Apa lelaki ni buat kat sini? Kalau demam, bukan dia yang kena melangkah keluar pintu A&E tapi mamat ni yang kena masuk dalam jumpa dia, ikut prosedur. Fikir Alila.
“Encik Juhaidi.” Alila memanggil sekali lagi.
Panggilan ketiga barulah Jude berpaling.
“Alila. Hai,” balas Jude sambil tersenyum.
Jauh di lubuk hati, Jude pelik kenapa pakar bedah robot yang terkenal di Malaysia tersesat di hospital yang tidak ada pun mesin secanggih da Vinci, da Love apatah lagi. Jude tahu sangat hospital mana yang mempunyai da Vinci di Malaysia.

“Encik Juhaidi sakit? Nak jumpa MO?”
Jude menggeleng.
“Encik Juhaidi tahukan orang datang A&E ni mesti ada sebab. Tak sakit orang tak datang sini.”
“Sebab saya mudah Alila. Saya nak jumpa awak. Saya tak sakit pun. Sikitlah,” ujar Jude berpura-pura memegang dada.
Heart attack? SOB (short of breath)?” Alila kalut, terus tangan Jude ditarik ke pintu masuk A&E tetapi pantas Jude menarik tangan Alila ke kerusi yang paling dekat dengan mereka.
Alila risau juga jika lelaki itu sesak nafas. Sifat keprihatinan yang memang terserlah tetapi kepada orang yang salah nampaknya kali ni. Buat malu sahaja.
“Bukanlah cik misi. Heart problem jugaklah tapi bukan heart attack. I can’t stop thinking about you. Ini ‘sakit’ utama saya. Ada ubat tak?”
Alila terus menjarakkan duduk. Punggung diengsot selang satu kerusi dengan Jude. Nasib baik A&E tidak sesibuk biasa. Kes terakhir yang Alila uruskan hari ini ialah pesakit dengan acute chest pain. Selebihnya dia sibuk dengan kertas kerja. Berapa banyak borang perlu diisi untuk satu-satu kes dan seseorang pesakit. Semakin banyak hospital diakreditasi, semakin banyak kertas kerja perlu diisi. Semua pekerjaan zaman sekarang datang bersama kerja perkeranian, lengkap satu pakej. Apa lagi yang boleh dibuat. Reda sajalah.
Tidak sempat Alila menjawab, ketua dari bahagian Onkologi menyapa sekali gus membawa info yang tidak berapa sedap didengar.
“Alila, tadi Dato’ Dr. Ahmad Rizqin ada dengan PIC kita kat pejabat pengurusan. Pelik pulak aku dia tanya kau. Eh, kau kenal anak dia Dr. Amar tak? Handsome tau.”
Alila tersenyum. Matanya berkalih ke arah Jude sebelum menjawab soalan Sister Diana.
“Bos lama akulah.”
Takkan nak jawab bapa mertua tak jadi pulak kan. Mood boleh mati dengar nama tu. Rungut Alila dalam hati.
“Oh, patutlah. Okey, aku gerak dulu.”
Alila hanya mengangguk.
“Encik Juhaidi, saya belanja awak minum.”
“Wow, tak payah pick up line pun datang rezeki saya ya. Hebat tapi pelik pulak awek yang belanja. Sayalah yang belanja awak Alila,” ujar Jude lalu berdiri. Tangan dihulurkan ke arah Alila.
Alila buat tidak nampak lalu dia terus berdiri dan melangkah setapak ke depan.
“Nak pergi mana?” tanya Jude.
“Subway. Belah sana,” beritahu Alila sambil menunjuk ke hujung blok.
“Saya belanja awak minum air kat mesin ni boleh?”
“Belum gaji ke apa ni? Kan saya dah cakap saya yang belanja.”
Juhaidi tergelak. Tidak pernah lagi dia diperlekehkan sebegini. Nampak selekeh sangat ke pemakaian dia ni? Hati Jude tertanya-tanya.
“Bukanlah Cik Alila, saya nak cepat. Lagipun saya datang ni nak bagi sesuatu dan nak tinggalkan kenangan kali kedua dengan mesin air tu,” ujar Jude, tersenyum nakal.
“Kalau setakat nak pulangkan balik plaster pink tu baik tak payah. Saya halalkan.”
Lagi sekali Jude tergelak. Plaster yang dia fikir?
Alila berhenti di sebelah mesin air dan terus duduk di bangku berdekatan.
“Saya nak air milo.”
“Okay maam!” Jude tabik.
Beberapa keping duit seringgit dikeluarkan dari beg duit. Sebentar kemudian setin air milo dihulurkan kepada Alila.
“Minum sambil jalan boleh? Ikut saya pergi ke kereta. Saya betul-betul nak cepat. Maaf sangat.”
Alila teragak-agak tetapi diturutkan juga. Tidak manis dengan beruniform dia duduk melepak di hadapan A&E lagak seperti orang tidak ada kerja. Lebih baik dia pusing-pusing. Tidak mahu terserempak dengan ayah Amar nanti.
“Keputusan pemeriksaan kesihatan awak hari tu okey?” soal Alila. Ingin bertanya tentang kenapa Jude perlu membuat pemeriksaan terasa seolah-olah penyibuk sangat pula.
“Okey. Alhamdulillah. Dah lama kerja sini?” tanya Jude pula.
Alila tidak terus menjawab. Dia terfikir tentang soalannya tadi. Sepatutnya soalan itu Alila tanya semasa mereka berjumpa di KLCC tempoh hari.
Baru pertama kali sebenarnya Jude menjejakkan kaki ke sini. Syarat wajib kerjanya, membuat pemeriksaan kesihatan komprehensif sebelum terbang menjalankan tugas. Dia juga wajib mencari hospital yang diakreditasi JCI (Joint Commision International) kerana majikannya berpengkalan di Amerika jadi dia perlu mencari hospital yang diiktiraf antarabangsa. Di Kuala Lumpur tidak banyak hospital yang diiktiraf.
Kadangkala alang-alang hendak membeli-belah di Singapura, dia buat pemeriksaan kesihatan di sana sahaja kerana kebanyakan hospital di sana memang diiktiraf JCI. Hospital kerajaan pun ada yang diiktiraf JCI. Kalau di Malaysia, hospital kerajaan setakat mendapat pengiktirafan daripada MSQH (Malaysian Society for Quality in Health) sudah cukup bagus.
“Baru pindah. Tukar angin. Encik Juhaidi kerja apa? Kat mana?” soal Alila pula.
“Kerja dengan orang. Kerja sendiri pun ada. Buat research sikit-sikit lepas tu buat sales.”
Jude mengeluarkan dompet dari poket jeans tetapi malangnya kad namanya sudah habis. Tangan diangkat tanda isyarat nasib tidak baik. Kalau sudah baca apa yang tertera di kad tidak perlu lagi dia berasa segan hendak mengatur ayat menceritakan tentang pekerjaannya.
Come on, kerja apa tu sebenarnya?” soal Alila tidak minat jawapan yang berbelit-belit.
Zaman sekarang banyak betul orang buat kajian kemudian pasarkan barang. Jual tudung pun perlu buat kajian. Semua produk perlukan kajian sebelum dipasarkan.
“Nak tau kena panggil saya Jude. Peninglah saya duk berencik-encik ni. Boleh?”
Okay.  I am Lila, just Lila.”
“Okey. Nah, dah sampai kereta saya. Tunggu kejap,” ujar Jude mengalih perhatian Alila. Bunga yang dibeli tadi masih elok terletak di tempat duduk penumpang.
Untuk awak Lila. Just Lila.”
Alila tersengih. Pandai Jude buat lawak. Tangan kanan masih sibuk menggentel straw. Jude selamba sahaja menarik air tin milo yang sudah kosong di tangan kanan Alila. Dihulurkan ke tangan kanan Alila dengan jambangan bunga ros merah yang harum. Ringkas tetapi sangat menarik gubahannya. Harap-harap Alila suka. Hati Jude berjeda.
“Untuk apa?”
“Ha…ha…ha… tak tahu pulak nak bagi bunga kena ada sebab konkrit.”
Boleh muda sentiasa duduk dengan Alila ni. Ada saja yang boleh buat Jude ketawa. Fikir Jude.
“Selamat berkenalan cik misi. Terima kasih tolong bagi plaster hari tu.”
“Sebab tu aje?”
“Yalah. Sebab apa lagi.”
Okey, ada sedikit perasaan kecewa di situ. Alila pun pelik kenapa dia boleh terasa begitu apabila mendengar jawapan Jude. Bukan dia sudah benar-benar jatuh cinta pun tetapi apabila lelaki sekacak Juhaidi memberikan bunga semata-mata ingin mengucapkan terima kasih demi dua keping plaster yang dipinjam, tidakkah dia berasa kecewa?
Apatah lagi mereka mempunyai kenangan sebabak di taman KLCC. Musnah lagi harapan Alila hendak move on. Demi ingin menutup perasaan pelik apabila mendapat bunga itu, Alila berlagak selamba sahaja. Jambangan bunga yang harum dibawa ke dada dan dicium.
“Terima kasih,” ucap Alila sambil tersenyum manis.
“Saya gerak dulu. Nanti jumpa lagi. Haa… lagi satu. Saya nak nombor telefon awak boleh?” Telefon dihulurkan kepada Alila.
“Please key in your number.” Sekali lagi arahan diberi.
Alila hanya menurut.
“Nombor saya awak tak nak?”
“Awak miss call ajelah.”
“Tak nak, nanti awak buat tak tau aje tengok nombor tak kenal. Sini.” Tangan kiri Alila ditarik, telapak tangan diratakan di atas tangannya dan sebatang pen dikeluarkan.
Old school sangat ni.”
Jude ketawa lagi. Alila kelihatan sungguh comel pada pandangannya. Ayat-ayat Alila juga ‘comel’. Yang penting Alila cool. Tenang saja saat Jude menconteng telapak tangannya.
“Hafal nombor ni. Tak payah susah-susah nak simpan dalam telefon. In here,” ujar Jude sambil jari telunjuknya lembut menyentuh kepala Alila.
Baru Jude hendak melepaskan tangan Alila tetapi terasa tangannya digenggam erat oleh Alila. Terus matanya diangkat mencari mata Alila.
“Thank you again for this pretty bouquet.”
Erat genggaman tangan Alila tetapi sesungguhnya hati Alila berdegup tidak sekata apabila kereta yang lalu di tepinya tadi amat dikenalinya. Terserlah senyuman sinis pemandunya.
Dah tua ganyut pun sempat nak cari perbezaan kat dunia ni. Alila pantas mengutuk dalam hati dan memang dia sengaja menggenggam tangan Jude.
Lelaki di hadapannya kini, orangnya biasa-biasa sahaja boleh buat Alila jatuh suka. Dia bukan materialistik seperti dituduh. Dia boleh sahaja berkawan dengan lelaki yang berkereta biasa. Tidak perlu menuduh dia perempuan yang gilakan lelaki berkereta mewah dan berpangkat tinggi. Kalau sudah cinta, tidak berkesempatan pun hendak menilai semua itu. Cintanya terhadap Amar dulu pun tanpa dia menimbang harta atau pangkat Amar.
“Jumpa lagi Alila. I’m gonna miss you. Bye.” Jude melepaskan dahulu tangan Alila. Kemudian kakinya terus melangkah ke tempat pemandu.
Alila sudah bagaikan tugu negara kemudian lambat-lambat dia bergerak ke tepi untuk memberi laluan kereta Jude keluar dari kotak parkir.
Elok kereta keluar dari kotak parkir, Jude menurunkan cermin.

“Alila, tiba-tiba saya teringat apa yang awak cakap kat kawan awak masa kat restoran Boat Noodle tu dan setiap kali saya teringat, takut pulak saya nak duduk bersendirian dengan awak. Tadi awak genggam tangan saya kuat sangat buat saya lagi takut. Awak memang gadis hebat, takut darah tapi boleh kerja kat A&E. Hebat betul. Jadi, beritahu saya. How do you cope? Jadi vampire? Suck the blood when nobody is around?”
Tidak perlu menjawab soalan itu kerana pipi Alila sudah memerah bagaikan udang kena bakar. Dia tersenyum saja kemudian melambaikan tangan dan Alila terus angkat kaki.
Sudah dua kali dia termalu sendiri dengan jejaka bernama Juhaidi ini.

Tak apalah Alila, mana ada buluh tak berbuku. Tak payah malu tapi harus diakui soalan Jude memang legend! Hati Alila mengomel. 




Happy holiday readers.....
Hope you have the best one while waiting for this novel.

xoxo

Tuesday, 19 December 2017

LOVE LILA BAB 4








“RUGI kan budak yang baru grad terus masuk kerja hospital swasta,” ujar Kak Yus, memberikan pendapatnya.
Hari ini Kak Yus syif malam bersama dengan Alila.
“Betul Kak Yus, Lila yang kerja GH (general hospital) beberapa tahun pun sempat jumpa macam-macam kes. Kes kemalangan atau istilah biasa digunakan di A&E, kes MVA (Motor Vehicle Accident) paling mencabar sekali. Tak kira lagi kes gengster, kita kat dalam sibuk nak buat kerja, geng kat luar sibuk nak menghentak. Nasib baik tahun demi tahun semua sistem dah bertambak baik. Aspek keselamatan dah bagus. Sistem zoning dah bagus,” ujar Alila memberikan pendapatnya.
“Habis tu kenapa Lila tukar kerja?”
“Cari pengalaman Kak. Sebab gaji pun ya jugak. Banyak yang saya belajar masa kat tempat orang. Tekanan tetap ada tapi seronok jugak sebenarnya.”
“MO pagi ni Dr. Gina kan?” soal Kak Yus yang mendengar skema jawapan Alila sambil bertanya pengganti MO syif malam.
Dr. Ihsan sudah 10 minit menunggu untuk pulang tetapi Dr. Gina masih belum sampai. MO yang bertanggungjawab tidak akan tidak mempedulikan waktu kerja dan terus pulang. Biasanya mereka akan menanti MO syif yang seterusnya tiba, kemudian baru mereka pulang. Kadangkala waktu bertukar syif boleh menjadi waktu yang paling sibuk. Sekiranya ada pesakit belum dijenguk oleh konsultan atau belum lagi masuk wad bermaksud hand-over case note perlu diurus terlebih dahulu. Tak sabar nak tunggu hospital menggunakan sistem atas talian sepenuhnya bagi menggantikan case note, baru kerja lebih mudah dan teratur.
“Yup betul. Kak Yus, Lila nak pergi beli air panas kat mesin tu. Kak Yus nak apa-apa tak? “
“Tak payahlah. Kak Yus, biasanya kalau balik masa macam ni nak kejar sarapan dengan suami sebelum dia keluar kerja.”
“Okey, saya gerak dululah,” ujar Alila lalu melangkah meninggalkan kaunter.
Hanya ada dua orang pesakit yang menanti giliran ke wad. Sempat Alila memastikan situasi dalam A&E semua terkawal sebelum melangkah keluar.
Alila melangkah longlai menuju ke mesin air yang terletak di ruang lobi A&E. Penat sudah mencengkam ke tulang. Hendak berjalan pun terasa perlu mengheret kaki sahaja. Jadual kerja syif malam ini memang ada baik dan buruknya. Kalau agak tidak ramai pesakit memang seronoklah tetapi kalau tiba-tiba pelbagai kes masuk, tambahan pula kes MVA di Red Zone juga ada, memang boleh putus nafas sebaik sahaja habis syif. Rakan-rakan syif pagi boleh tersenyum menayang muka segar bugar. Dia dan staf syif malam yang lain, muka sudah serabai bagaikan tahap jambatan hendak roboh.
Jadual syif mereka agak sibuk dan padat di saat akhir. Ada staf yang bersalin awal semalam, ada seorang bercuti sakit dan ada yang pihak pengurusan hantar berkursus. Mana tidak pening jadual perlu disusun di saat-saat akhir. Akhirnya, Alila sendiri yang menawarkan diri untuk memenuhi jadual kaki tangan A&E untuk syif malam.
Kebiasaannya semua ketua jabatan akan menukar-nukar jadual sebagai sister on call semata-mata. Tetapi hari ini dia terpaksa mengendalikan semuanya. Nasib baik dia bertugas dengan Kak Yus yang banyak pengalaman juga. Seronok sedikit diajak bersembang di kala mata hampir tertutup.
Cepat sahaja mesin menelan duit, tetapi air tin yang ditekan sebagai pilihan tadi tidak pula terpacul keluar dari mesin.
Mesin gila! Tolonglah duhai pihak pengurusan. Letaklah mesin air yang high class sikit. Jatuh imej hospital kut macam ni. Dahlah tadi duit kertas tak nak terima. Rungut hati Alila.
Gigih Alila mengira duit syiling hendak cukupkan bayaran. Malam tadi ada orang ‘selamat’ ke kat A&E? Fikir Alila.
Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Kerja di hospital memang tidak sah kalau tidak berfikiran tahyul. Bukan hendak percaya benda karut tetapi sesekali apabila dalam keadaan marah, memang sengaja mencari asbab. Alila memandang mesin air untuk kesekian lamanya.
Bye Wonda Latte! Sehingga berjumpa lagi. Omel hatinya.
Gedegang! Bunyi mesin air ditendang dari arah tepi.
“Patutlah.” Alila tidak teragak-agak terus tunduk mengutip air tin yang keluar dari mesin.
Baru hendak mengalah. Dia tidak larat hendak menunggu. Tiba-tiba ada yang menolongnya menendang mesin air itu.
“Terima kasih, thank you, danke, spasibo?” ujar lelaki itu, siap berbahasa Jerman dan Rusia kerana gadis yang ditolong itu membuatkan dia rasa seolah-olah wujud tidak wujud sahaja.
“Terima kasih… maksud saya tadi patutlah budak-budak ni panggil…” Kata-kata Alila terhenti kerana dia sudah terkaku seolah-olah terkena renjatan elektrik apabila di hadapannya sekarang adalah Mr. Saviour.
Adakah zaman anak dara tuaku akan berakhir segera? Alila menggeleng-geleng. Terasa hendak menampar pipi agar tersedar dari angan-angan.
“Pernah tak dengar orang cakap, every time you help someone it comes back two fold’?”
“Publika? Minggu lepas? Encik?”
“Juhaidi… nama saya Juhaidi bin Johari,” ujar Jude sambil menghulurkan salam.
“Saya Alila… alah, plaster aje. Tak harap pun Encik Juhaidi balas. Susah payah aje  encik keluar skill macam tu. Tu yang budak-budak ni panggil mesin air gedegang. Saya tak boleh nak fikir dah nak main tendang- tendang baru keluar air. Penat sangat,” jelas Alila memberi isyarat agar tangannya dilepaskan.
“Kerja sini? Baru habis syif?” Jude meneka.
Badan Alila dibaluti pakaian seragam hospital dan raut wajahnya serabai dan mengantuk habis. Makin comel apabila Alila dengan selamba menguap.
“Yap. Encik memang datang A&E? Tak sihat ke?”
“Taklah. Saya ada temu janji. Medical check-up. Rugilah awak dah balik. Kalau tak saya serahkan jiwa dan raga saya untuk awak periksa.”
Pick up line sangat encik.”
“Juhaidi. Tak payah encik-encik.” Jude tergelak.
Budak zaman sekarang memang dah tak layan pick up line. Dah basi nampaknya. Fikir Jude.
Medical check-up blok sanalah. Sesat sampai ke sini awak ya dan sebenarnya awak sampai tersangat awal,” ujar Alila sambil mengerling jam di tangan.
“Budak hospital yang beritahu di A&E pun ada mesin air. Yang kat blok sana, saya dah sepak berkali-kali pun still out of order. Nasiblah yang ni tak payah tunjuk skill tendangan maut, air dah keluar.”
Bab sampai awal, Jude sengaja tidak mahu menjawab. Nampak seperti budak baik sangat pula kalau dia dikategorikan stok bangun pagi. Bab hebat sepak mesin air wajib diberitahu sebab itu adalah salah satu kehebatan lelaki macam dia.
Alahai, bukan tahap hebat sampai boleh crack code da Love pun setakat mesin air gedegang ni. Fikir Jude.
Alila ketawa. Malu kerana tempat kerjanya hanya mempunyai mesin air tahap ‘kokak’. Dia juga sudah tertawan dengan sikap selamba Juhaidi. Kalau pesakit atau pelawat lain datang dan mesin air buat hal, rasanya CEO pun kena turun tengok. Pesakit berduit yang datang semua beranggapan fasiliti yang ada di hospital swasta canggih seperti ini sangat sempurna. Hendak berjumpa yang tenang seperti Juhaidi memang agak tipis.
“Okey, saya gerak dulu ya,” ucap Alila, berbahasa.
Sure, jumpa lagi.” Juhaidi menarik tangan Alila dengan sengaja sehingga mendorong Alila ke arahnya.
Nasib baik Alila pula cekap. Kakinya kuat berpasak dengan jarak setengah meter dari Jude.
What a bad move, bro! Try harder. Getus hati Alila.
“I’m sorry.” Jude melontar senyuman dengan gaya ‘Sorry, I am not sorry’.
Alila menarik nafas panjang. Oi, nak salam ke silat? Salam perkenalan dan salam perpisahan Mr. Saviour ni lama benar. Ikut konteks Islam memanglah gugur dosa setiap kali bersalam tetapi ini sudah melampaui batas dan syariat. Jantung boleh gugur kalau tengok gaya Jude.
Sambil merungut sempat Alila menilai. Terbuai seketika melihat mata redup Jude.
Siapa pun yang dalam kategori seperti dia, boleh cepat aje ‘move on’ kalau tengok sinar mata lelaki macam Jude ni. Hati Alila terus-terusan menafikan. Nampak sangat Alila membela diri sendiri. Menafikan bahawa mustahil untuk dia jatuh cinta buat kesekian kalinya.
Jude meletakkan kedua-dua tangan ke bahu Alila.
“Awak okey?” soal Jude, berlagak prihatin.
Alila mengangguk dan berlagak normal tetapi sebenarnya satu hari selepas berjumpa Jude dia berasa tidak normal. Renungan itu. Senyuman itu. Suara itu. Segala-galanya mencuri tumpuannya.



SUDAH masuk kali ke-18 agaknya Alila melihat jam di tangan. Tidak sabar menunggu masa rehat. Macam-macam rancangan dalam kepalanya. Hendak berjalan jauh sedikit melayan dim sum di Avenue K atau ‘melayan’ kopi di mana-mana kedai kopi dalam KLCC. Hari ini sudah hari terakhir persidangan Persatuan Hospital Swasta Malaysia atau lebih dikenali dalam industri dengan nama persidangan APHM (Association of Private Hospitals of Malaysia).
“Aku bagi amaran siap-siap kat kau ni. Conference tu memang bosan sangat. Tiap-tiap tahun sejak hospital ni ditubuhkan memang HR akan hantar wakil nursing.”
Ah, Amelia! Benar sekali amaranmu itu. Alila mengeluh dalam hati. Hendak mengelat tidak boleh kerana hari terakhir memang diasingkan persidangan khas untuk klinikal sahaja iaitu Nursing Conference. Kalau hari pertama dan kedua, semua peserta dari pelbagai latar tidak kira klinikal atau bukan klinikal akan berada di dalam dewan yang sama. Waktu itu kalau ingin mengelat pun boleh sangat.
“Alila, jom kita pergi booth Active Scientific kejap lagi?” bisik Ogy, staf bahagian Infection Control.
Persidangan diadakan di dewan yang berlainan dengan dewan pameran. Terdapat banyak booth yang dibuka sepanjang persidangan ini. Ketika inilah ada hospital yang akan memperkenalkan servis mereka. Vendor juga akan memperkenalkan produk kesihatan baru, peralatan mesin baru dan pelbagai lagi pameran berkaitan industri kesihatan.
“Buat apa? Aku dah ada rancanganlah.”
“Aku nak main lucky draw kat situ. Kalau menang dapat health monitoring system yang branded tau. Aku nak bagi hadiah kat mak aku.”
Serius ke?” Suara Alila agak meninggi sedikit tetapi cepat-cepat mulutnya ditutup.
Sangat serius!” Sebutan sangat itu ditekankan Ogy sehingga tujuh harakat juga.
“Bawaklah mak kau screen kat hospital. Ibu bapa kan dapat rawatan percuma.”
“Mak aku kat utara sana. Kau nak aku usung datang KL ni semata-mata nak periksa glukos dan hemoglobin? Hisy tak masuk akal.”
Alila menggeleng. Ini macam pun ada. Ogy antara staf hospital yang dia boleh buat kawan. Sempoi sahaja. Kalau tidak, mana mungkin Ogy boleh sasarkan untuk memenangi cabutan bertuah dengan bersungguh-sungguh begitu.
“Kau ajak budak kat dewan sebelahlah. Aku dah ada rancangan. Maaf, tau.” Alila menolak sopan.
Mereka mewakili gabungan bahagian klinikal dan bukan klinikal, adalah di antara beberapa orang perwakilan. Tajuk persidangan tahun ini Safe and Efficient Hospitals’. Jadi, CEO mereka membawa sekali jurutera biomed hospital, staf IT dan akauntan. Semua dipaksa mendengar ucapan demi kebaikan sejagat dan secebis ilmu. Hari terakhir persidangan, staf klinikal dan bukan klinikal berpisah ke dewan berasingan. Masing-masing perlu mendengar ceramah bahagian yang relevan dengan skop kerja.
“Sure!”
Alila terus menuju ke KLCC sebaik sahaja habis masa rehat. Niat hendak menikmati dim sum dibatalkan. Dalam kepala sudah tahu apa yang hendak ditapau dan di mana kedainya. Selesai membeli makanan Alila menonong menuju ke Taman KLCC. Sejak dua hari dia bertapa di pusat konvensyen ini rasanya hari inilah cuaca paling bagus. Redup dan berangin. Kalau tidak, setiap hari hujan turun.
Alila mengambil tempat di tengah keriuhan orang ramai yang sedang melihat air pancut. Mungkin disebabkan cuaca yang sangat baik, jadi waktu tengah hari pun suasana di situ agak meriah. Sebaik sahaja Alila ingin menyuap Cheese Benedict ke mulut, tiba-tiba seekor kucing Parsi comel menerkam ke kaki Alila. Dia berpusing 360 darjah untuk mencari tuan kucing itu.
Memang kucing anda cantik tapi tak dihargai sebab datang tak berjemput ya. Nak bagi rasa roti kat tangan macam tak kena. Fikir Alila.
Kalau berkaitan dengan kucing, Alila memang tidak serasi. Bukan takut atau geli, cuma tidak serasi dengan jiwa.
“Syoo…” halau Alila sambil menolak kepala kucing yang sedang bergesel di kaki.
“Kucing pun suka awak,” ujar seorang lelaki.
Kucing itu diambil dan dipeluk agar tidak bergesel di kaki si gadis.
 “Terima kasih, thank you, danke, spasibo?” Sekali lagi ucapan terima kasih di dalam bahasa Jerman dan Rusia disebut oleh lelaki itu kerana gadis yang ditolong ini buat dia seakan-akan tidak wujud sahaja. Sama seperti tempoh hari.
Alila berdiri tegap dan kaku seperti terkena renjatan elektrik apabila di hadapannya sekarang adalah lelaki yang sama, dengan ucapan yang sama seperti di hadapan mesin air di hospital tempoh hari.
Jude ketawa. 
Shopping? Lepak ke datang APHM?” Jude meneka.
“APHM. Mana tahu?”
“Tahulah.” Jude senyum.
 “Okay, got to go,balas Alila berbahasa.
“Habiskanlah minuman awak dulu. Roti tu pun belum habis. Hari ni mujur saya tak payah tunjuk skil air gedegang tau,pujuk Jude seakan-akan tidak mahu waktu berlalu pantas.
“Seganlah saya makan dan minum seorang.” Alila beralasan.
“Laa… ramai kan orang kat sini. Kalau segan jom kongsi dengan saya.”
“Excuse me, abang tu kucing saya,” ujar seorang gadis berumur belasan tahun berdiri di hadapan Jude.
“Yeah… here you go, ujar Jude sambil menghulurkan kucing itu kepada si gadis.
“Terima kasih.”
“Sama-sama,” balas Jude dan kembali menghadap Alila.
“Awak tak suka kucing, kan? Nampak sangat.”
“Taklah tak suka tapi saya tengah makan dan saya perlukan my ‘me time’.”
Kalau dia nak berteman, baik dia ikut Ogy pergi main lucky draw aje. Omel hati Alila.
“ ‘Me time’ awak dah jadi ‘us time’ ya.” Jude selamba menarik air di tangan Alila.
“Susu?” Bekas plastik bertulis Dal.Komm dipandang sebelum menikmati airnya.
Alila geleng. Tergamam sampai tidak terkeluar suara sebenarnya.
Then?” Jude terus melegakan tekaknya. Susu pun susulah. Dahaga juga bila nampak air sejuk di tangan Alila.
“Air kopilah. Cube Coffee. Dalam tu ada kiub kopi. Awak kacau nanti perlahan-lahan kiub tu cair dan awak boleh rasa tiga jenis rasa kopi. Paling bawah espresso, tengah latte dan paling atas entah… cuba awak rasa.”
“It is sweet just like you.”  
“Pick up line sangat encik. Hari tu punya pun tak laku lagi.”
Jude tergelak dan mujur tidak tersembur saja air di dalam mulut. Sudah dua kali dia mencuba pick up line dan dia janji memang kali terakhir cuba dengan gadis ini. Gagal teruk! Seronok melihat telatah Alila. Makan langsung tidak mahu mempelawanya. Air itu pun dia ambil dengan muka tebal.
“Saya pergi dululah encik. Jumpa lagi.”
Terasa ingin menampar pipi sendiri kerana nampak sangat dirinya yang mengada-ngada ingin berjumpa lagi. Mereka sama- sama berdiri.
Sure, jumpa lagi.”
“Bye.” Alila nak berlalu pergi.
“Alila… tempoh hari… sebenarnya saya dengar.”
“Saya tak faham.” Alila tidak jadi melangkah dan memandang Juhaidi. Dahinya juga berkerut sekali.
X marks the spot.” Perlahan Jude berbisik ke telinga Alila.
Oh, God!” Alila menutup muka. Dia tahu dia patut angkat kaki sekarang! Pecut!
Jude ketawa nakal sambil matanya mengekori rentak kaki Alila yang berlari menuju masuk ke KLCC sehingga lesap dari pandangan. Jude kemudian menyambung bacaan di skrin telefon. Tadi niatnya melepak di taman memang hendak imbas sedikit teks ucapannya nanti. Tetapi matanya tertarik dengan gerak laku Alila.
Dari jauh dia ternampak Alila mencari-cari tempat duduk untuk minum. Kemudian seekor kucing datang mendekati Alila dan wanita itu kelihatan menghalau-halau manja dan kaki Jude memang gatal hendak melangkah ke sini.
Alilahmm sedap nama tu. Jude menyebut nama Alila sehingga terasa sesuatu di lubuk hati. Sesuatu yang dia rasa sejak pertemuan di A&E dan sungguh dia mengharapkan sebuah pertemuan yang lain. Kalau bukan hari ini rasanya dia akan terjah juga bahagian A&E itu nanti.
Sebenarnya Jude dijemput oleh ECRI Institute untuk memberi ucapan di APHM. Ramai penyelidik dalam pelbagai bidang pernah dijemput untuk memenuhi sesi bahagian teknologi dalam perubatan. Sekiranya dapat sesi yang terakhir jawabnya ramai yang tidak mahu mendengar ucapan, tetapi jamu mata tengok wajah kacak dia sajalah.

ROBOTIC SURGERY: COMPLICATIONS DUE TO INSUFFICIENT TRAINING

Banyak juga isu yang Jude bakal kupas dalam sesi ini. Setiap pengalaman daripada sisi-sisi gelapnya secara halus dimasukkan dalam ucapan agar semua pihak yang bertanggungjawab sedar akan apa yang terjadi di dunia luar. Penat mata menghala ke skrin, Jude memandang lagi ke arah Alila melarikan diri tadi. Mengimbau gaya Alila lari yang bagaikan menjunjung sangkak ayam, boleh pecah perut dibuatnya. Padahal perkara yang dimalukan itu kecil sahaja.

Sweet short story: Something about you

  Cover writing by: Farah Husain DANIELLA dah tak mampu nak tahan gelak. Boleh si adik menyakat kat Instagram selepas dia memuat naik gamba...