Tuesday, 2 January 2018

LOVE LILA BAB 10 DAN BAB 11 (BAB TERAKHIR DI BLOG)



BAB 10


SUASANA di ruang tamu rumah Encik Jayden meriah dengan gelak tawa Juita, Julia dan Jude. Pelbagai cerita yang dikongsikan. Cerita basi semasa mereka bercuti di Melbourne tanpa Jude pun keluar lagi. Tidak pernah habis biarpun sudah berbulan-bulan. Maklumlah, sudah lama mereka tidak bercuti lengkap berlima. Mesti ada yang tercicir.
“Hari tu dengar cerita cari jambangan bunga ros paling grand. Nak bagi kat siapa?” soal Juita.
“Tak payah tanyalah Juita. Jude ni mak cik cleaner pun dia bagi bunga, balas Encik Jayden.
“Daddy patut tengok muka abang masa tu. Matanya bercahaya semacam. Kali ni lain sangat.” Cepat Julia membangkang pendapat si ayah.
Encik Jayden menjongketkan kening. Jude pula selamba sahaja menyuapkan makaroni bakar ke mulut.
“I’m ready,” jawab Jude dengan gaya tidak ada perasaan. Terus semua mata memandang ke arahnya.
“Ready for what?” tanya Julia dan Juita serentak.
“To settle down.”
“Daddy ingat keutamaan Jude sekarang nak selesaikan hal kerja. Kata banyak masalah. Isu copyrightlah, contractuallah. Mana satu ni?”
“Daddy dah risau abang tak join Brown. Nasiblah,ujar Julia sambil menggigit bibir dan mengangkat bahu tanda tidak mahu masuk campur.
Jude meletakkan sudu dan garpu ke pinggan. Mulut dilap dan pinggan ditolak sikit ke depan. Banyak juga dia makan. Berselera kerana adik-adik perempuannya memang pandai memasak. Keistimewaan yang jarang jumpa untuk perempuan muda di zaman moden ini. Tambahan pula mereka mempunyai pembantu rumah. Didikan arwah mommy memang hebat. Anak-anak dilengkapkan dengan pelbagai kemahiran dan diajar agar pandai berdikari.
“Daddy, Jude minta izin nak kahwin.”
Encik Jayden terbatuk-batuk kecil. Juita menutup mulut. Julia bertepuk tangan.
“Tahniah!” ujar Julia yang menerima berita yang dibawa Jude tanpa ada kepentingan sendiri.
Cuma tadi apabila dia bertukar pandangan dengan Juita, umpama telepati mereka risaukan bagaimanalah penerimaan June nanti. Juita agak rapat dengan June jadi untuk terus sama-sama merasa gembira dengan berita yang dikhabarkan oleh Jude agak mengambil masa.
“Julia dan Juita dah siap makan?”
Ekor mata Encik Jayden disambut dengan sedikit rasa gusar. Nampaknya jalan yang dipilih Jude tidak semudah yang disangka.
“Dah,jawab Juita sambil meneguk air limau suam kegemarannya.
Julia mengangguk tanda dia pun sudah siap makan.
“Daddy ada hal nak cakap sikit dengan abang. Tinggalkan kami berdua sekejap.”
           

ALILA teragak-agak untuk memberitahu Jude rancangannya hari ini. Pakaian yang ada di dalam almari diselak-selak. Rancangan mereka ialah ke Pavillion untuk membeli-belah. Kemudian mencari tempat untuk makan dan bersantai. Jadi kod pakaian perlu smart kasual. Ringkas sangat mungkin kurang sesuai apabila menikmati makan malam di restoran yang kategori ‘Fine Dining’.
“Bukan suami pun. Tak payahlah nak bagi laporan segala,bebel Alila sendiri.
Sebenarnya dia agak kecewa dengan Jude. Siang tadi Jude berjanji sekiranya ada kelapangan, dia ingin membawa Alila makan malam tetapi sudahnya hampir petang pun belum ada berita langsung. Alih-alih, rakan-rakannya dari Mount E yang turun ke Kuala Lumpur untuk menghadiri kursus pula yang sibuk mengajaknya keluar berlibur. Malam minggu begitu, mana ada gadis sebayanya yang separuh hidup menghambakan diri di tempat kerja ataupun apabila cuti hanya duduk bertapa di rumah.
Akhirnya Alila memutuskan untuk memakai gaun potongan tirus yang labuh ke lutut berwarna kuning terang. Rantai leher panjang dengan loket geometri hitam dipadankan dengan gaun itu. Rekaan gaun itu cukup ringkas dengan leher berbentuk V dan berlengan pendek. Rambutnya yang panjang dibiarkan lepas sahaja. Alila berpusing di hadapan cermin.
Okeylah, nampak ceria sikit pakai warna macam ni. Black is so boring. Pink is so foxy but I just hate pink. Omel hati Alila.
Tepat pukul 5.00 petang, Alila dijemput di hadapan rumah. Mujur mama dan papa tiada di rumah, jadi tidak ada sesi soal jawab sebelum keluar rumah. Hanya pesanan melalui WhatsApp diberitahu kepada mama. Takut juga terbabas sampai tengah malam baru dia pulang ke rumah.
Setelah berjam-jam keluar dan masuk kedai, Alila bersyukur sangat dia tidak memakai kasut bertumit tinggi. Mujurlah dia selamba sahaja menyarungkan sandal bertali halus.
“Makan jom,ajak Seetha yang sudah mula lapar.
“Makan kat sini atau kat luar? Tuan rumah, ada cadangan?” soal Ivana merujuk kepada Alila yang terkial-kial dengan beg plastik dan beg kertas hasil membeli-belah sebentar tadi.
“Aku mana-mana pun boleh tapi tunggu aku solat kat sini kejap. Kau orang fikirlah. Malam minggu ni. Kalau nak lepak makan lama sikit baik kita keluar,balas Alila sekadar memberi cadangan.
Lebih baik sekiranya dia siap menunaikan solat, mereka sudah mempunyai rancangan. Dia agak kekurangan idea dalam memberi cadangan berkenaan tempat makan dan melepak kerana dia tidak kisah di mana-mana sekalipun.
“Kita orang tunggu depan kedai Smiggle,beritahu Janet membuat gaya menghalau Alila agar cepat-cepat pergi.
Alila menyerahkan beg-beg di tangan kepada Janet. Dia malas hendak mengusung semua masuk ke surau.
Dah tua pun layan Smiggle lagi. Hati Alila mengomel.
Salah satu kelemahan produk alat tulis keluaran Australia ini ialah pembeli bukan membeli kerana ingin menggunakan alat tulis itu tetapi lebih kepada suka melihat dan mengumpul. Semua produk berwarna terang seperti warna kuning gaun yang dipakai dan mempunyai identiti sendiri.
Kalau dia masih budak sekolah, mahu kopak mama nak beli semua alat tulis ni. Mahal kut! Fikir Alila.
Alila meninggalkan Janet, Sheeta dan Ivana. Dia tidak risau tentang mereka kerana ini bukan kali pertama bekas rakan-rakan sekerjanya di hospital Mount Elizabeth datang ke Kuala Lumpur. Mereka sudah biasa. Bagaimana Alila menghafal selok-belok Vivo di Singapura, begitulah juga sahabat-sahabatnya sudah menghafal setiap ceruk Pavillion. Sepuluh minit kemudian, Alila selesai mendirikan Solat Maghrib dan keluar dari surau dengan mekap di wajah yang sudah dibersihkan. Malas hendak merias lagi, Alila hanya melengkapkan gaya dengan mengoles gincu berwarna neutral di bibir.
Mereka berlima meninggalkan Pavillion sejurus selepas meninggalkan butik Smiggle. Kali ni Alila tidak terjebak membeli pen. Tetapi hampir RM500 juga Alila berbelanja. Jururawat dengan kes pen hilang umpama irama dan lagu. Tidak boleh dipisahkan. Tidak sah kalau tidak hilang pen melainkan pen itu digantung di leher. Mujur masih di awal bulan.
Alila seorang yang berjimat cermat. Kalau dia ingin membeli baju, dia masih memilih yang berfesyen dan cantik pada penglihatannya tetapi hanya di kedai tahap Padini sahaja. Cuma hari ini dia terbabas juga membeli dua pasang baju jenama Dorothy Perkins dan Bebe.
Alila harus berhati-hati berbelanja selepas ini kerana dia perlu menyimpan wang untuk perkahwinannya sekiranya hubungan dengan Jude berjalan lancar. Sekiranya benar seperti yang dikatakan oleh Jude, 200 hari itu bukannya lama. Jangan sampai dia perlu membuat pinjaman peribadi untuk berkahwin gara-gara tidak cukup wang. Alila risau kalau hal ini terjadi. Dia mahukan majlis yang sempurna atau sekadar mengikut sahaja kemampuan dia dan papanya.
Kereta diparkir tidak jauh dari blok yang dituju. Malam minggu mereka tidak berani memarkir sesuka hati. Bimbang kereta lesap nanti. Baru sahaja melabuhkan punggung di kerusi, telefon Alila berbunyi. Senyuman Alila terukir sampai ke telinga apabila melihat nama yang tertera di skrin telefon. Alila berborak tanpa meninggalkan meja. Dia tidak kisah sekiranya perbualan didengari oleh teman-temannya. Biarpun tidak lama Alila di Mount E tetapi hubungan mereka sangat akrab.
“Pakwelah tu,usik Janet.
Alila tersengih. Mendengar suara Jude di hujung talian dengan latar belakang muzik kompilasi Listen Without Prejudice daripada George Michael memang kena betul.
“Bukan saya dah cakap nak ajak keluar makan malam ke?” soal Jude.
Alila mula berasa serba salah. Dingin juga suara lelaki itu di hujung talian. Separuh perasaannya terasa bersalah, separuh lagi Alila gembira sahaja dikelilingi oleh teman-teman lama yang sekepala. Buktinya ketika sedang berbual di telefon bersama Jude pun dia masih boleh membuat pesanan makanan dengan menggunakan bahasa isyarat. Dia gembira bersama-sama mereka yang sangat memahami dirinya.
“Kawan tempat kerja lama di Mount E datang. Saya teman dia orang jalan-jalan. Kalau nak saya temankan awak makan boleh aje,ujar Alila, memujuk Jude.
“Cakaplah awak kat mana. Saya jemput awak tapi saya bagi awak masa dengan dia orang duluAwak tunggu aje, saya akan datang.”
Alila memberitahu lokasinya secara ringkas. Untuk memudahkan Jude, dia turut berkongsi lokasi menggunakan aplikasi WhatsApp. Alila berasa lega kerana dalam nada suara Jude yang serius masih tinggi toleransinya.
“Kau orang tidur mana malam ni?” tanya Alila sebaik sahaja memutuskan panggilan telefon.
“Kat Dorsett. Jomlah join. Lamalah tak borak sampai lebam,pujuk Ivana.
Alila menggeleng. Dia tidak meminta izin daripada papanya untuk bermalam di luar. Jadi dia tidak berani hendak berjanji. Kebiasaannya, kalau pulang agak lewat, papanya tidaklah begitu marah. Tetapi sekiranya dia langsung tidak pulang ke rumah memang akan dilabel anak derhaka. Mahu Alila kena halau keluar rumah. Kebebasan yang diberi tidaklah sampai tiada sempadan.
“Jomlah borak sampai lebam. Tadi kau nampak baju, kasut dengan beg aje. Pandai pulak sekarang buat-buat nak borak dengan aku kan,” perli Alila.
Kek lobak merah bergula melaka yang dipesan tampak amat menyelerakan. Ingin menikmati makanan lain, bimbang tidak sempat. Nanti Jude sampai, dia perlu menyambung makan malam sesi kedua pula.
“Gambar yang JJ tag kat Facebook kau tu memang betul kan? Bukan Photoshop?” soal Seetha sambil memandang muka Alila dan tidak sabar menanti jawapan.
Alila sudah mengagak. Mesti ada juga yang akan bertanyakan gambar ‘artsy’ di Facebook tempoh hari.
“Memang gambar betullah. Kejap lagi dia datang ambil aku. Aku kenalkan nanti. Aku balik dengan dia kau orang tak ada masalah kan?”
“Boleh aje. Kasi chancelah,balas Sheeta sambil ketawa.
Mereka menikmati makan malam sambil berbual pelbagai topik. Dari isu durian tidak banyak ke Singapura tahun ini kerana kurang menjadi sampailah kepada topik yang tidak dapat dielakkan iaitu drama doktor dan pesakit. Sudah keluar hospital pun masih ingat tempat kerja.
“Kau orang ada baca tak kes terbaharu berlaku kat hospital di Hong Kong?” Alila baru hendak menyambung lagi topik sensasi dunia perubatan apabila bahunya ditepuk lembut dari belakang.
“Nurses and their talking shop, ujar Jude sambil tersenyum.
“Hai everyone, sambung Jude.
Alila membalas senyuman dan memperkenalkan Jude kepada Sheeta, Ivana dan Janet.
“Hai Jude. Alila kena sambung gosip Hong Kong dia lain kali,”  balas Sheeta sambil merujuk kepada talking shop yang dimaksudkan oleh Jude. Talking shop bermaksud bercakap dengan rakan-rakan, perihal kerja walaupun berada di luar waktu kerja. Semua yang ada di meja ketawa mendengar ayat balas Sheeta.
“I pinjam Miss Alila and the dinner is on me. Have fun ladies!
“She’s all yours.” Janet mengusik Alila.
Thank you for the dins.” Ivana pula mencari peluang untuk berbual.
Mata memang tidak boleh terlepas melihat buah hati Alila itu. Gred A plus. Rupanya yang kacak, gayanya yang ranggi tetapi kemas dan bahasanya yang mesra buat mereka semua selesa dan Ivana rasa dari bahasa mata Sheeta dan Janet mereka sependapat dalam memberi markah.
Jude terus ke kaunter membuat bayaran sambil memberi peluang kepada Alila mengucapkan selamat tinggal kepada kawan-kawannya.


“SINI?” soal Alila sambil memandang ke arah papan tanda di depan mata dan kemudian menoleh ke belakang pula.
“Okey kan? Ke tak okey? Nak pergi tempat lain? Saya cuma tak nak buang masa dan saya rasa tempat ni cool. Saya pernah datang tapi lama dululah.”
“Saya boleh terhidu lagi minyak wangi Janet dari sini… tapi bolehlah. Jom masuk,” ujar Alila sambil menggeleng.
Semasa mereka melangkah keluar dari restoran Table 23 tadi, dia sudah terbayang Jude akan membawanya ke tempat makan yang romantis. Paling kurang pun yang menghadap pemandangan Menara Kuala Lumpur atau KLCC. Alih-alih Jude berhenti sepelaung sahaja dari restoran Table 23 tadi.           
“Ni Billie Holiday dan ni Miles Davis,ujar Jude sambil menunjukkan gambar di dinding seraya mengatur langkah terus ke meja yang ditempah.
Terteleng-teleng Alila melihat untuk mengenali mana satu Billie Holiday dan mana satu Miles Davis.
Kut ya nak bagi dia kenal sangat, berhentilah dua atau tiga saat bagi dia telek betul-betul.
Jude memilih untuk bersantai di tingkas atas. Kalau di tingkat bawah, bimbang sesak pula dengan orang yang datang semata-mata ingin menikmati muzik secara langsung oleh artis jemputan. Restoran dan bar No Black Tie terkenal dengan artis jemputan popular untuk mendendangkan lagu atau muzik Jazz. Suasana dan lagu latar memang relaks dan menenangkan tetapi bayaran masuk yang dikenakan agak mahal bagi Alila. Tempat dan dekorasi tidaklah semewah mana pun.
“Tengok muka saya pun dah tahu ke saya buta Jazz?”
Jude ketawa.
“Tak nak dengar live music tak apaJust listen to me.”  
“Jangan risau. Saya memang pakar bab audiometri jadi boleh layan muzik dan dengar awak bercakap. I spend half of my working hours listening to rubbish,” gurau Alila.
Meja yang Jude pilih agak strategik kerana Alila boleh mencuri pandang melihat persembahan di tingkat bawah. Manalah tahu Jude ingin melayan Jazz semata-mata dan bukannya hendak melayan dirinya. Mata Alila melilau pula melihat menu.
Jude ketawa lagi. Alila umpama ‘happy pills’ untuk seorang Juhaidi Johari. 
“Coke and crispy potato wedges.”
“Itu aje?” rungut Alila perlahan tetapi jelas di telinga Jude.
“Saya dah makan berat kat rumah. Awak pilihlah nak makan apa.
“Tadi cakap nak makan malam. Penat tau saya rasa bersalah tadi sebab keluar tak tunggu awak telefon. Rupa-rupanya dia dah kenyang pun. Light coke ajelah.” Alila hanya memesan minuman.
Menu di sini bagi Alila memang tidak menarik sangat. Ramai datang kerana ingin melepak semata-mata. Mujurlah dia tidak terlalu lapar dan mengenangkan kalori sepotong kek lobak merah bergula Melaka yang dimakannya tadi menyamai kalori sepinggan nasi, elok jugalah Alila menahan nafsu makan.
“Alila, cuba sambung cerita awak kat Hong Kong tu,ujar Jude yang memang boleh melayan apa jua cerita kalau bersangkut-paut dengan bidang perubatan.
“Oh, tu pasal satu kes jadi kat hospital di Hong Kong. Seorang pesakit yang ada obesiti ni jatuh dari wheelchair semasa ditolak oleh jururawat dan pesakit tu saman. Tapi, yang tak disangkanya, keputusan akhir menyatakan yang bersalah bukanlah jururawat yang tolak wheelchair tu. Tapi kebetulan ada seorang jururawat lalu di sebelah semasa kejadian. Jururawat tersebut disabitkan bersalah sebab tak tolong walaupun ada di tempat kejadian.”
Jude tersenyum segaris. Langsung tidak terkejut. Keadilan yang dicari kalau melibatkan pelbagai pihak susah hendak ditujukan kepada A atau B. Tidak semudah itu. Dia sudah biasa menyaksikan kesan selepas setiap projek yang dijalankannya berjaya. Tidak pernah sekalipun Intuitive disabitkan kesalahan.
“Jadi, risaulah ni?”
“Yalah. Kami kat hospital kena panggil dengan top management. Dia orang pesan agar extra careful dengan pesakit zaman sekarang. Kita ada kat hospital nak membantu save lives tapi dia orang nampak kami ni dah macam gaya nak membunuh dia orang pulak.” Panjang lebar Alila berkongsi cerita.
“Ceritalah sikit pasal kerja awak pulak. Saya rasa sangat menarik kerja awak tu,ujar Alila yang ingin tahu juga pekerjaan Jude yang kerap kali berulang-alik dari Moscow, USA dan Malaysia.
“Taklah menarik sangat. Awak selamatkan nyawa orang dan saya memudahkan kerja awak dengan rangkaian teknologi terkini.”
Awak penyelamat dan saya pembunuh. Itu hakikat yang sebenar. Kata hati yang amat perit untuk diakui. Jalan untuk berpatah balik ke jalan yang benar juga amat sukar tetapi kerana kesedaran yang sedikit demi sedikit menjengah semuanya akan menjadi kisah paling pahit dalam hidupnya. Kerjaya yang tidak pasti, keluarga yang penuh rahsia dan masa depan yang sedang dicorakkan agar kembali bercahaya.
“What I am amazed by is, this is the first time I know anyone who created something so techie! I’m so glad that you are not a doctor.”
Jude ketawa lagi. Ayat terakhir Alila itu rendah sahaja nada suaranya tetapi cukup untuk buat Jude berasa sedikit selesa.
“I’m so glad that you are mine, pintas Jude cepat, menyambung ayat Alila gaya berirama.
Zaman media sosial kini memang mudah mendapat maklumat cuma perlu rajin melayari akaun Facebook, Instagram dan sebagainya. Pasti akan terjumpa semua rantaian maklumat.
“Jude, why do you love me?”
“Alila, why do you love me?”
“Hei, mana aci. Saya yang tanya dulu.”
“Baru nak tiru skema jawapan.” Jude melirik senyuman.
Muzik latar menenggelamkan perbualan mereka seketika namun apabila turun ke nota yang rendah, Jude menyambung kata.
“Betul nak tahu kenapa?”
“Jangan nak bagi jawapan ala-ala romeo pulak. Keluar bintang, bulan segala.”
Jude tersenyum. Kerusi diengsot mendekati kerusi Alila. Bahu dirapatkan dan rambut Alila diselak ke celah telinga.
Sebab…”
“Hmm… sebab?” Alila sudah tidak sabar ingin mendengar.
Kalau dia budak baru belajar bercinta pasti boleh pengsan dengan setiap pergerakan Jude. Mujurlah ‘hakak’ ni dah ada pengalaman bercinta. Getus hati nakal Alila.
“You know how to…”
Do CPR? No… no… I heard that a lot during my early practice. Not now please…” Alila menolak bahu Jude agar menjauhkan diri darinya sambil ketawa. Klise sangat alasan para lelaki suka keluar dengan cik-cik misi.
How to take care of yourself. Awak pandai jaga diri sendiri Alila. Itu yang paling penting untuk kekal bersama seorang Juhaidi Johari. Kali pertama kerana keletahnya yang bersahaja. Kali kedua kerana rupanya yang rupawan dan perwatakannya yang menawan. Kali ketiga kerana hatinya sudah terpikat dan tidak mungkin berpaling lagi. Cinta tidak perlukan alasan berkajang.
“You love me because I am your true love Alila, jawab Jude sengaja memberikan jawapan terbalik.
Sepatutnya jawapan itu lebih sesuai menjadi skema jawapan Alila. Sekilas tapak tangan diusap ke kepala Alila persis menenangkan anak kecil yang sedang menangis.
 Alila mengangkat kepala, memandang Jude yang sedang melemparkan segaris senyuman. Tiada kata yang mampu diungkap. Hanya sebuah senyuman terbentuk di bibir Alila. 

Dear Jude,
My first love is bitter. I just hope my true love is better and forever.

Senyuman Alila menenangkan. Apa jua yang bakal terjadi kepadanya atau apa jua yang bakal dia harungi bersama Alila, manis atau pahit, Jude yakin Alila mampu. Mampu untuk terus teguh. 
Pertama, da Love. Kedua, Jayden versus Johari. Ketiga, my dear Alila. Kata-kata Encik Jayden sebentar tadi juga bersilang di minda. Kata-kata Encik Bakar yang memarahi Jude kerana lambat menghampiri keluarga Johari juga terngiang-ngiang. Rindu, siapa yang tidak rindu? Kecewa, siapa yang tidak kecewa? Sedih, siapa yang tidak sedih? Takut, siapa yang tidak takut?
Semua jenis perasaan menakluk jiwanya cuma semangat kental seorang Juhaidi Johari yang masih kuat menongkah arus dugaan. Semuanya diatur satu demi satu. Akal tidak sekali datang, runding tidak sekali tiba.
           





BAB 11











“APA yang kau emo sangat tu? Muka berkerut semacam.” Alila sempat singgah ke bilik ‘partner in crime’ dia di hospital ini.
Selain ketua-ketua bahagian klinikal, Alila sangat rapat dengan akauntan hospital. Seronok mendengar cerita wanita itu. Staf A&E yang sering pening dengan pelbagai ragam pesakit sampailah MO atau konsultan boleh tenang mendengar perkataan gross operating profit, debtor turnover days, CYTD, PYTD dan pelbagai lagi yang diceritakan oleh wanita itu.
Tenang kerana dia sudah biasa mendengar bebelan wanita itu yang tidak berkaitan dengan bidang A&E walaupun tiada satu pun bebelan itu difahaminya kecuali net profit margin. Itu pun hanya sedikit yang difahaminya. Lebih menarik apabila soalan berikutnya berkisarkan tentang bonus mereka bagi tahun hadapan. Dia tertanya-tanya masihkah mereka mendapat bonus enam bulan lagi? Dia yang baru tahun pertama di sini sangat berharap dapat merasa bonus yang sebegitu banyak.
“Kes seorang pesakit kat CICU ni. Dah terlebih insurans. Duit deposit tak nak top up. Doktor tak buat surat refer. Bos pula tak review lagi kes ni nak transfer patient ke tak. Budak aku pergi minta deposit dengan ahli keluarga dia orang cakap hospital kejamlah, tak faham abang dia orang tengah kritikallah. Aku takut patient tu RIP, lagilah haram dia orang nak bayar mana yang insurans tak cover tu. Kita tengah bercakap pasal 100k punya bil tau. Bukan sikit.”
“Biasalah. Dia orang senang aje cakap kita ni kejam. Ni hospital swasta yang memang nak keuntungan. Bukan nak buat kerja kebajikan. Dah, aku tak nak kacau kau. Aku hari ni syif pagi jadi nak balik dulu,balas Alila yang faham sangat stigma masyarakat.
Di hospital swasta, konsepnya no money no talk. Konsep zero charges hanya diterima pakai di jabatan Alila iaitu A&E sahaja. Itu pun bersyarat. Syaratnya hanya semua kes kecemasan seperti mangsa kemalangan depan hospital atau mangsa bangunan terbakar, runtuh berhampiran hospital wajib dirawat sehingga stabil kemudian barulah dipindahkan ke hospital kerajaan atau hospital pilihan mangsa tanpa caj.
Staf juga tidak mempunyai kelebihan yang banyak. Sekiranya staf telah menghabiskan peruntukan kos perubatan tahunan yang diberi oleh pihak hospital, maka baki bil hendaklah dijelaskan sendiri. Kalau mahu membuat potongan gaji untuk melunaskan baki bil atau ingin memohon diskaun lebih banyak pun terpaksa melalui proses kelulusan pihak atasan. Pendek kata, tiada siapa terkecuali.
“Bawa kereta sendiri pun nak cepat buat apa?”
“Kak Long ambillah hari ni. Saja nak ‘pau’ dia makan di tempat yang best.”
Baru sahaja Alila hendak keluar, matanya tertangkap sesuatu di atas meja cik akauntan tetapi Alila berlagak seolah-olah tidak nampak.
Kemudian Alila laju menuju ke biliknya di A&E, mengemas barangnya dan terus ke depan lobi hospital menanti Azalea. Tidak sampai sepuluh minit Azalea sampai.
“Sawadi kha. Abang Long tau tak kita keluar date ni?” sapa Alila, ceria.
“Mestilah tau. Tanyalah soalan membina sikit. Ni yang slang Thailand bagai kenapa?” bebel Azalea sambil sebelah tangan menyambut salam si adik dan sebelah tangan cekap memutar stereng kereta.
“Bestlah nanti tempat kerja baharu orang. Ada Spa Massage, Java Coffee dan yang penting Thai Food Court.” Alila galak bercerita.
Dia ternampak kertas kerja di atas meja akauntan hospital tadi. Ramai yang sudah mula bertanya kerana hospital mereka dikatakan mengambil franchais hospital swasta yang terkemuka di Thailand. Sudah beberapa tahun beroperasi tetapi masih belum nampak fusion Thai-Malaysia. Hanya konsep moden semata-mata yang kelihatan. Kedai di setiap pintu masuk hujung timur dan barat hospital dipenuhi kedai bertaraf antarabangsa sahaja. Ini barulah dikatakan Bangkok style.
Dia bangga juga berpindah ke tempat baharu walaupun dalam keterpaksaan. Kisahnya agak sadis kerana berpindah atas sebab cinta. Rasa takut hendak memulakan kerja di tempat baru sangat tinggi. Tetapi dia masuk pada masa yang tepat. Peralihan hospital ini ialah dari pengurusan lama ke pengurusan baharu. Terasa seperti berada di dunia yang baharu juga.
Kiranya tak salah pilih tempatlah kan? Bila dah diberi nafas baharu ni kak long pun suka datang sini. Setiap pelusuk hospital rekaan dan dekorasi nampak lain dan menarik. Bukan luxury style macam Prince Court ke Gleaneagles ke tapi lebih kepada urban and funky style.”
“Ni namanya blue ocean strategy kak long. Buat apa nak hospital yang berwajah hotel lagi, kalau orang lain dah buat. Kena buat something different. Rupa kena cantik tapi tak tiru konsep orang.”
Azalea mengangguk setuju. Bagi yang rajin membaca pasti memahami apa itu konsep blue ocean dan red ocean strategy.
“Apa yang penting sangat sampai tak boleh tunggu kami balik hujung minggu ni?”
“Hujung minggu ni kerja. Lagipun takutlah nak cakap kat Encik Jabar dengan Puan Aishah benda ni. Lila betul-betul nak minta tolong kak long.”
“Tolong apa? Russian doll? JJ?” Suara Azalea sudah meninggi.
Alila tersengih.
“Cepat sangat ke?”
“Tak nak komen. Zaman dah berubah. Istilah cinta sejati bawa ke mati dah tak relevan, balas Azalea.
“Tapi kalau orang tanya kenapa cepat sangat? Kalau mama tanya kenapa pilih Jude?” soal Alila, gusar.
Ala jawablah. Kenapa pilih dia?” Soalan Azalea membuatkan Alila mati kutu.
Alila meluahkan semua perasaan yang terbuku. Kisah di The Lounge, No Black Tie dan hinggalah kisah terbaharu mereka di Putrajaya. Selesa apabila bercerita dengan ahli keluarga sendiri. Bercerita dengan Pasha memang lagi santai dan mudah daripada bercerita dengan Azalea tetapi hal ini bakal melibatkan urusan keluarga. Kak long kena jadi orang pertama yang menyokongnya.
“Kalau ada jodoh tak ke mana tapi cuba-cubalah kenal betul-betul sebelum tarikh langsung.”
“Yalah. Petang ni pun orang nak jumpa dia.” Senyuman memekar di bibir Alila mengingatkan janji temu rasmi yang pertama mereka sebagai pasangan kekasih.
“Kenapa Alila suka dia?” Soalan pertama Azalea.
“Soalan pertama mama mesti JJ ni anak orang kaya ke orang biasa macam kita. Lepas tu mama akan tanya tak serik ke atau tak terlalu cepat ke?” asak Azalea lagi.
“Kalau keluarga Jude tak suka Alila macam mana? Orang kaya ni macam-macam.” Soalan seterusnya daripada Azalea agak mencabar Alila.
Dahsyat! Soalan tahap latih tubi peperiksaan SPM tetapi baguslah sekurang-kurangnya Alila sempat menyediakan rangka jawapan yang munasabah dan sedap didengar di telinga orang tua.
“Kak long tahu tak. Jude tu orang rasa taklah stok budak baik macam Amar. Dia macam fesyen kebanyakan budak zaman sekarang. Educated, social sikit, lepas tu jenis ikut suka dia aje. Memang bukan calon pilihan papa dan mamalah kan tapi dia suka orang. Jadi penting ke kalau dapat yang baik macam Amar pun tapi tak mampu pertahankan cintanya?” luah Alila akan perasaan yang terbuku.
“JJ ni tahap kaya dia macam mana?” Azalea mula mengeluarkan soalan yang agak luar alam pada pandangan Alila.
“Kak Long, tak payahlah tanya soalan macam tu. Jude cakap keluarga dia biasa. Keluarga angkat dia aje yang kaya jadi sama taraflah dengan kita jugak,jawab Alila dengan penuh yakin tanpa mengetahui kisah silam dan kebenaran seorang bernama Juhaidi Johari.


OHD, Designated Aviation Medical Examiner for Pilots & Air Traffic Controllers (ATC), DIPLOMA Aviation Medicine, Royal College of Physicians (London), MD…
 Jude tidak sempat menyelesaikan penyelidikan ringkas apabila perlu cepat-cepat menutup skrin iPhone kerana orang yang ditunggu-tunggunya sudah sampai.
“Jammed.
Jude menelan liur. Dia terkaku, beku. Tidak sempat menjemput duduk, dengan selamba tangan Jude ditarik untuk bersalam dan badannya dipeluk kejap. Belum sempat Jude mencerna perasaannya yang tiba-tiba rasa sayu dan hiba, pelukan dileraikan. Air mata Jude hampir menitis tetapi sedaya upaya ditahan.
So, what’s up? Aku nak panggil apa? Adik? Acu?”
“Kertas pembentangan tadi menarik,ujar Jude yang hilang kata-kata.
Lain yang ditanya, lain yang dijawab. Dia hanya merujuk kepada kertas pembentangan bertajuk In Flight Medical Emergencies sebentar tadi yang menemukan mereka. Sungguh ini bukan dia. Ada sedikit getar dalam nada suaranya. Adakah kerana rasa hormat? Pesanan Encik Bakar selama ini dipandang enteng. Menyediakan laman hijau untuk Alila rupanya tidak semudah yang disangka atau mengorek sejarah silam itu yang lebih payah?
“Jom, balik rumah. Jumpa mak dengan ayah.”
“Tak ada orang pernah cari aku.”
“Dengar aje ayat ni, apa yang aku boleh simpulkan you don’t know the half of it.”
“Jadi, siapa pernah cari aku? Taufik? Iskandar? Danial? Johan atau kau?” Jude menyebut nama semua abang-abang kandungnya.
“Ayah, aku dan semua orang.”
Jude tersenyum sinis. Bukan main ramai yang cari tetapi semua tidak jumpa. Getus hatinya, sinis. Dia yang baru setengah tahun mengupah Encik Bakar, sudah tahu semuanya. Ini zaman teknologi. Kalau zaman dulu atau dalam drama sinetron Indonesia mungkinlah hilang anak tidak dapat berjumpa sampai sudah. Ataupun sudah ada depan mata pun tidak tahu itu adalah anak sendiri.
Kalau bukan kerana menghadiri Asia Pac Congress Aerospace Medicine, jalannya untuk menghampiri keluarga Johari mungkin tidak semudah ini.
“Jude…”
Nama panggilan itu yang didengarnya di dewan persidangan sebentar tadi. Ya, Jude. Bukannya panggilan adik.
Excuse me. Nanti aku datang balik,ujar Jude bangkit dan terus keluar.
Telefon bimbit dikeluarkan. Dia sangat memerlukan Alila di saat ini. Alila dijadikan alat untuk menutup ruang-ruang yang renggang, dijadikan sandaran untuk menghubungkan yang jauh.
I’m sorry Alila, I just need someone who will be ultimately mine. You are the chosen one. Seorang umat yang masih lalai bahawa yang memiliki dan yang berhak itu hanya DIA. Seorang umat yang masih belum diuji bahawa kehilangan itu ialah pasti. Hatinya terus merintih.
Hi, love. Kat mana?” soal Jude sudah tidak sabar. Sudah tidak sempat memberi mukadimah untuk menyapa kekasih hati.
“Dah nak sampailah. Saya tengah berjalan ni,jawab Alila sambil tersenyum. Padahal dia memang sudah berdiri tegak depan pintu masuk tempat yang dijanjikan.
Melilau mata Alila mencari Jude dan matanya singgah kepada seseorang yang sedang tunak memandangnya. Mata mereka melekat sehinggalah lelaki itu yang memalingkan wajah. Lelaki tadi. Hmm Alila menggumam.
“Okey, tunggu. Saya keluar sekejap. Dah tengah jalan, balas Jude.
Jude mematikan panggilan telefon dan hampir berlari menuju ke arah Alila. Dari jauh Jude nampak Alila sedang mencarinya.
Jude menepuk bahu Alila dari belakang dengan lembut.
“Hai… jom masuk.”
Alila pandang ke sisi. Senyuman Jude yang terukir menerbangkan resah yang bertamu sebentar tadi. Langkah hanya diatur mengekori Jude dan apabila mereka berhenti, Alila terasa hilang nafas. Lelaki tadi.
“Alila, kenalkan abang saya. Rafael bin Johari. Boleh panggil Raf atau Rafa. Tak boleh panggil abang aje sebab beza umur kami dekat sangat.”
Entah kenapa lawak Jude tidak berbunyi kelakar di telinga Alila kerana wajah serius yang dilemparkan oleh Rafael. Terasa kekok berada di tengah-tengah jejaka yang figuranya hampir sama tetapi tidak serupa.
“Nak minum?” soal Jude.
“Saya pergi kaunter sendiri,jawab Alila, cepat-cepat bangun tetapi tangannya ditarik oleh Jude.
“Sekejap sayang. Raf, kau bertuah sebab jadi orang pertama tahu. Kami nak bertunang. Boleh tak tolong beritahu mak dan ayah? Takut dia orang sakit jantung tiba-tiba anak bongsu dia nak ajak pergi merisik anak dara orang. Aku kena fly esok seminggu. Balik nanti aku harap semua settle, ujar Jude sinis.
Dia menghalakan pandangan ke arah Alila.
“Awak duduk. Saya belikan. Nak minum apa?” soal Jude sambil berdiri.
“Oh, apa-apa ajelah,jawab Alila buntu.
Pusat pemikirannya sudah tahu berpaksi di mana. Ayat lontaran Jude terasa ada makna yang kurang menyenangkan. Nalurinya sahaja atau itu memang gaya sang kekasih?
Rafael nampak tenang. Alila yang berasa kekok sehingga tidak tentu arah jadinya. Dia memandang kaunter. Jude melemparkan senyuman. Alila membalas senyuman itu. Apabila dia memandang semula ke hadapan, Rafael tajam memandang ke arahnya. Kemudian Rafael melayan telefon. Dia pun apa lagi terus keluarkan juga telefon bimbit seolah-olah melayari Instagram tetapi yang sebenarnya dia mencari ayat penenang hati di Google. Beginilah perasaan semasa bersemuka dengan daddy Amar dulu. Bezanya dia sudah pandai hendak menenangkan perasaan dengan cara mengingati DIA. Biar baru bertatih untuk sentiasa meletakkan seluruh harapan kepada-NYA, yang penting ada titik mulanya.
“Keluarga Alila dah tahu?”
“Hah?” Alila pula yang terkejut kerana dia merasakan si abang patut terkejut dengan ayat tidak ada perasaan si adik dan bukannya risaukan dia.
“Dah tahulah sikit-sikit cuma…” Alila gugup. Kepala diangkat daripada memandang skrin. Bila masa mamat ni berhenti layan telefon?
“Cuma tarikh kami belum putuskan sebab nak tunggu masa yang sesuai,potong Jude selamba.
Kemudian menoleh ke arah Alila dan menyambung, “Saya segan nak cakap sendiri, Alila. Mak dah lama suruh saya naik pelamin tapi saya buat tak tahu. Jadi kalau tiba-tiba cakap takut dia pengsan pula. Raf ni lain, anak emas. Cakap apa pun mak dengan ayah angguk aje.” Jude berpura-pura ketawa.
Rafael tersenyum sinis. Dalam hati, si adik yang licik!
Jude tersenyum juga. Beberapa minit bersama si abang, sudah dapat diteka si abang bukan seperti budak-budak makan pisang.



Assalamualaikum,

Hello readers.
Happy new year.

Bagi new entry sebab nak show off new blog template...haha..

Jangan lupa dapatkan Love Lila versi cetak di pasaran soon okay.

xoxo,

RA@KL



Sweet short story: Something about you

  Cover writing by: Farah Husain DANIELLA dah tak mampu nak tahan gelak. Boleh si adik menyakat kat Instagram selepas dia memuat naik gamba...