Monday, 4 February 2013

Kelip - Kelip (My Jekyll and Hyde)


            IZZIE melangkah ke ruang makan dengan malas. Selepas Subuh, Mommy berpesan menyuruhnya bersiap. Izzie hanya mengenakan sepasang baju kurung moden berwarna hitam dengan corak batik di hujung lengan berwarna hijau pucuk pisang. Sesuai dengan hatinya yang kelam dan kelabu. Izz Laith nampaknya turut sama bersarapan di rumah banglo yang muram dan sepi dek penangan keputusan bodoh yang diambilnya. Pengorbanan yang tiada erti, pengorbanan yang menyakitkan hati banyak pihak.
            “Dik, duduk sini.”
            Izzie menurut sahaja. Hanya Izz yang masih sudi melayannya. Daddy dan Mommy tidak mengendahkan kehadirannya. Izz menghulurkan secawan kopi kepada Izzie.
            “Abang tak balik lagi?”
            “Hari ni baliklah. Tak bolehlah abang nak tinggal Kak Herlina lama – lama. Kesian pula. Kalau dia boleh cuti abang dah angkut dia sekali.”
            Izzie mengangguk lagi. Izz sudah berkeluarga dan menetap di tempat si isteri bekerja. Kak Herlina bertugas sebagai seorang doktor di Batu Gajah. Susah kalau dia nak minta cuti yang tidak dirancang. Setelah sebulan lebih Izzie dan Hairi bercerai baru Mommy khabarkan kepada abang dan tanpa berlengah abang balik. Risaukan si adik. Risau sebab Izzie hanya menangis sahaja apabila bercakap melalui telefon.
            “Kejap lagi pergi kerja. Jangan nak malukan Mommy dan Daddy lagi.”
            “Hah?” Izzie terkejut mendengar arahan Daddy. Nada suara Ahmad Laith yang tidak mempunyai ruang toleransi. Izzie sangat kenal dengan intonasi itu. Patutlah Mommy menyuruhnya bersiap. Dah berapa lama dia terperap di dalam rumah.
            “Tapi.....”
            “Bukan Daddy suruh Izzie pergi menggedik macam orang gila talak kat Hairi tapi tolong jaga air muka Hairi. Sekarang tak ada orang pun yang tahu kamu dah bercerai. Pergi bincang elok – elok dan selesaikan hal ni cara matang.”
            “Tak kan Izzie nak kena jumpa Hairi lagi. Malulah Daddy.”
            “Izzie malu? Kami tak malu? Hairi tak malu? Apa dia nak cakap dengan budak – budak di pejabat? Kahwin dua minggu lepas tu isteri minta cerai?”
            Air mata mengalir perlahan di pipi. Terasa murah benar air matanya menitis kebelakangan ini. Roti bakar yang diletakkan oleh Izz ke dalam piring di hadapannya tak jadi disentuh.
            “Daddy...kan Izz cakap tadi. Biar Izz yang uruskan.”
            “Adik kamu ni bukannya boleh diberi muka. Kalau tak diajar, lain kali dia buat lagi. Dia ingat perkara kahwin – cerai ni boleh dibuat main agaknya.” Mommy pula menyampuk.
            Langsung tak kasihankah mereka dengan nasib anak perempuan mereka? Izzie mengetap bibir. Air mata diseka dengan hujung jari. Dia sendiri pun menderita dengan keputusan bodoh yang telah diambilnya. Dia menyesal tapi apa gunanya?
            “Izzie, dah lah menangis tu. Makan, nanti abang hantar Izzie pergi pejabat.”
            Izzie mengangguk lemah. Air kopi dalam cawan tak mampu nak dihabiskan. Mommy bangun untuk membuat rutin biasa seorang isteri. Menghulurkan briefcase untuk Daddy dan menemani Daddy ke kereta. Rutin yang tak sempat pun untuk dia laksanakan dalam tempoh bergelar isteri yang singkat. Izzie Laith tak mampu menjadi isteri solehah seperti Izzah yang sentiasa setia untuk Ahmad Laith.
            “Jom!” Izz menepuk bahu Izzie yang leka memerhatikan keintiman hubungan ibu dan bapa mereka.
            “Abang, Izzie malu lah. Segan pun ada. Nanti Hairi cakap apa tengok muka Izzie nanti?”
            “Izzie, kita kena bertanggungjawab dengan pilihan yang kita buat. Hairi yang suruh Izzie masuk kerja. Ada nak bincang sikit. Pergilah. Bincang elok – elok. Dulu bincang depan orang tua tak sama.” Tenang suara si abang menasihati si adik yang telah tersalah langkah.
            “Semua orang salahkan Izzie tapi pernah ada orang cuba faham perasaan Izzie? Izzie sedih, kecewa, rasa tertipu dan hati Izzie terluka abang.”
            “Abang faham. Sabar ya dik.”
            Izz mengusap belakang Izzie. Mengalirkan sedikit kekuatan untuk si adik.
           

            “PUAN Izzie, petang ni Encik Hairi bagi semua orang balik awal. Nak pergi rumah arwah Tengku Rinda. Puan nak ikut kami atau pergi dengan Encik Hairi?”
            “Saya pergi sendiri. Encik Hairi mungkin balik lambat.” Izzie menjawab teragak – agak juga kerana sejak pagi tadi dia tak nampak batang hidung bekas suaminya. Terharu mendengar gelaran ‘puan’ yang masih setia meniti di bibir semua orang yang menyapanya hari ini. Rupanya – rupanya semua orang menyangka dia pergi bercuti.
            “Nureen, dia pergi dengan saya. Jom!” Azrul Hairi menyampuk dari muka pintu pejabat Izzie yang ternganga.
            Izzie terdiam. Nureen terus keluar dari bilik Izzie. Dia segan sebenarnya dengan bekas suami yang tetap melayannya baik. Ikutkan hati dia dah tak sanggup untuk bersemuka dengan Azrul Hairi. Malu, kecewa dan benarlah kata – kata Hairi. Dia bodoh. Pengorbanannya sia – sia.
            Hairi menutup pintu bilik pejabat Izzie dan melangkah ke arah Izzie yang tidak bergerak. Dia duduk di kerusi menghadap Izzie Laith yang nampak sangat serba salah.
            “Kita pergi sekarang?” Hairi memandang wajah bekas isteri yang nampak kusut sahaja. Mungkin bertambah kusut dengan syarat yang dia kenakan. Bukan niatnya untuk mempermainkan hati dan perasaan Izzie tapi dia ada sebabnya sendiri.
            “Awak....” Izzie serba – salah. Dipandang wajah bekas suami dengan pandangan sayu. Nampak Hairi makin gelap pula. Matanya yang salah atau fikirannya terlalu kusut sehingga salah menilai. Dia mengikut sahaja rancangan Hairi kerana mahu menjaga hati orang tuanya. Atau hatinya sendiri?
            “Kenapa ni? Kena marah dengan Mommy dan Daddy lagi?” Hairi dapat agak bagaimana hari – hari yang dilalui oleh Izzie. Keluarganya sama. Turut memaksa dia agar rujuk kembali tapi kali ini dia akan menentukan sendiri hala tuju hidupnya. Cukuplah sekali dia patuh.
            Izzie angguk perlahan. Apalah nasib badan. Sudahlah tak bersuami, dibuang keluarga pula. Okay, dia reka cerita. Dia bukan dibuang keluarga. Ahmad Laith dan Izzah tak kan tergamak membuang satu – satunya anak perempuan mereka tapi tekanan yang diberi oleh mereka sangat hebat.
            “Apa semua ni?”
            “Kita bincang dalam kereta. Dah pilih tajuk apa nak buat?” Hairi bangun. Dia bergerak ke kerusi Izzie. Menepuk belakang kerusi dan menanti dengan sabar langkah Izzie yang nampak serba tak kena.
            “Dah. Nina suruh pilih tajuk yang ringkas. Saya ambil kes untuk projek TESCO.” Izzie tahu Hairi cuba melarikan diri daripada topik yang dibincangkan. Mereka melangkah ke kereta tanpa suara. Mati di situ sahaja perbualan mereka. Kisah hidup mereka yang sesingkat rantaian hidup kelip – kelip.
            “Izzie. Awak sihat?” Hairi berbasa – basi. Punat penghawa dingin kereta ditekan.
            “Okay. Awak pula? Nampak makin gelap.”
            Hairi hanya ketawa apabila ditegur gelap tapi sungguh kulitnya yang sawo matang nampak seperti terbakar. Duduk sebelah macam ni, mata Izzie asyik menjeling ke kanan sahaja.
            “Sebelum saya lupa. Kat belakang kereta ni ada cenderamata untuk budak pejabat. Saya cakap kita pergi makan angin. Tak kan balik tangan kosong.”
            “Awak pun baru masuk kerja hari ni ke? Pergi mana?” Izzie dah muka pelik. Patutlah semua orang menegurnya ramah seperti biasa.
            “Risau? Awak ambil berat pasal saya ke ni?” Hairi bertanya dengan nada yang tenang tapi nada provokasi terkesan di hati Izzie.
            “Saya faham. Awak mesti sedih lagi tentang Rinda. Memang kalau saya pun satu kerja tak boleh nak buat. Memang patut awak pergi bercuti.”
            Hairi menghela nafas dalam. Nampaknya sampai sudah Izzie belum pandai menelah hati dan perasaannya.
            “Betullah tu. Orang yang baru kehilangan bekas kekasih dan baru ditinggalkan isteri memang perlukan ruang masa untuk berfikir dengan tenang.”
            “Saya minta maaf. Saya rasa itu yang terbaik untuk awak. Saya minta ampun. Saya tahu saya salah.”
            “Saya dah ampunkan awak. Hidup ni senang Izzie. Kalau saya suami yang baik, isteri saya takkan tinggalkan saya.”
            Izzie terdiam. Kata – kata Hairi menikam ke kalbu. Saya isteri yang kurang serba – serbi. Awak seorang suami yang sempurna. Hanya saya yang tidak tahu menghargai hubungan kita.
            “Izzie, let bygones be bygones. Tujuan saya suruh awak datang kerja hari ni sebab nak bincang beberapa perkara.”
            “Awak setuju dengan rancangan keluarga kita suruh rujuk semula?” Mata Izzie bersinar dengan penuh harapan. Harapan untuk menebus semua kesalahannya. Harapan untuk menebus maruah keluarganya.
            Hairi tergelak. Biarlah rasa hatinya dipendam sahaja. Dia suka melihat perangai Izzie yang polos. Kata – katanya selalu nampak comel pada pandangan mata Hairi. Betullah orang cakap, tak ada orang tak sayangkan isteri. Nikmat di dunia, hanya isteri yang mampu beri. Perasaan dan hati dilanda badai setelah ditinggalkan isteri tak sehebat berpisah dengan kekasih hati. Sepanjang dia berada di Pulau Tioman berminggu lamanya, dia menjelajah segenap Kampung Juara dan meneroka ceruk laut indah tapi fikirannya hanya memikirkan satu nama. Izzie Laith! Membayangkan hari – hari yang bakal dilalui tanpa seorang isteri dan membayangkan nasib Izzie Laith sendiri tanpa Azrul Hairi di sisi.
            Izzie langsung terdiam. Hairi mempersendakan soalannya.
            “Kenapa? Awak sudi jadi isteri saya balik? Don’t tell me you fall for me.” Hairi menjeling sekilas. Rasa bersalah pula ketawa begitu. Izzie menunduk sahaja di sebelah.
            “I think I....”
            I think I love you. Tersekat di kerongkong apabila Hairi terus memotong ayatnya.
            “Izzie, perkara pertama ialah awak boleh terus kerja dengan ARH. Kedua, saya harap awak diamkan dulu hal kita. Saya janji apabila masa yang sesuai tiba, saya sendiri akan beritahu orang hal sebenar. Saya bukan nak ambil kesempatan tapi untuk menjaga air muka keluarga kedua – dua belah pihak. Saya tak nak keluarga kita menjadi bahan cerita.”
            Izzie termalu sendiri. Dia tersalah meneka. Betul cakap Rehan dia dah macam orang gila talak. Dia ingat dia menangis macam orang gila selepas baru – baru mereka bercerai. Hatinya sebak apabila keluarga mereka berbincang, Hairi menolak usul agar mereka rujuk kembali. Ah, padan muka kau Izzie! Kau bukan sesiapa lagi dalam hidup Hairi dan tak pernah jadi sesiapa pun.

            Teringat perbualannya dengan Rehan....
            “Dia tak nak rujuk balik. Sampai hati dia. Ann, tolonglah. Baru aku sedar aku sayang dia. Aku sayang Hairi.”
            “Ikutkan hati sungguh aku rasa nak lempang pipi kau ni tapi kasihan pula aku tengok kau meroyan.”
            “Ann...tolong aku. Aku nak buat apa?”
            “Izzie Laith, listen! Supermodels get dumped. Celebrities get dumped. The most beautiful people in the world get dumped. You just happened to be on the receiving end this time, so get over it and move on. Hairi had his own share of heartache.”

            Izzie menarik nafas dalam. Setelah berminggu – minggu mereka berpisah, Kenapa dia masih berharap?
            “Hairi, saya rasa permintaan pertama awak saya terpaksa tolak. Saya minta maaf. Saya tak boleh tengok muka awak hari – hari. Saya akan terkenangkan semua dosa – dosa saya dan saya tak akan mampu memulakan hidup baru. Permintaan awak yang kedua. Insya Allah. Tanggung jawab nak menjaga maruah keluarga patutnya saya yang pikul sebab semuanya salah saya.”
            “Betul?”
            Izzie mengangguk.
            Hairi hampa. Hampa dengan keputusan yang diambil oleh Izzie walau pun dia amat berharap keputusan ini yang akan diambil oleh Izzie. Dia mahu mengajar Izzie membuat keputusan yang tepat. Bagi Hairi, Izzie umpama lalang. Disuruh kahwin, dia ikut. Disuruh rujuk, dia ikut. Bila agaknya Izzie akan pandai menilai hati sendiri?
            “Saya akan cari tempat kerja yang bagus untuk awak. Hal tu jangan risau. Awak boleh terus sambung projek awak dengan Nina. Kita dah sampai ni. Nanti saya hantar awak balik. Saya tahu Izz yang hantar awak tadi. Kita bincang lagi.”
            Izzie mengangguk.
                                          

            AZRUL HAIRI mencuri pandang Izzie dari jauh. Sesekali dia nampak Izzie tersenyum tapi air muka Izzie jelas menunjukkan kedukaan.
            “Bekas isteri aku, yang pakai baju kurung warna hitam tu.” Hairi memperkenalkan Izzie kepada Ghazi. Sahabat baiknya juga sahabat baik Tengku Rinda.
            “Lawa jugak. Betul kau tak nak rujuk? Tak nak bagi dia peluang? Kau pun salah. Perempuan mana tak sakit hati tahu suami ada kekasih hati dari zaman belajar lagi. Patutnya kau cakap kau dah lama berpisah dengan Rinda. Ini mengaku berpisah sebab kena kahwin dengan dia. Mestilah dia kecewa. Korang dah lah kerja setempat. Budak ARH tak bercerita depan dia pun tapi dia mesti rasa seperti orang ketiga. Mulut kau pun cabul. Talak buat main – main.”
            “Dia tak rasa apa – apa pun. Dia tak pernah cintakan aku.” Hairi menjawab pendek. Bab talak, dia tahu itu kesilapannya yang paling besar. Kesilapan kerana pada percaturannya Izzie akan patuh tapi dia silap. Keberanian Izzie di luar jangkaan.
            “Kau mana tahu hati dia?” Ghazi mengasak lagi. Kasihan dengan nasib Azrul Hairi. Dia ada di saat Hairi patah hati kerana terpaksa berpisah dengan Tengku Rinda. Dia cuma tiada di saat Hairi memulakan hidup baru dengan pilihan keluarga. Malah Ghazi sangat terkejut dengan berita yang dia dengar. Hairi paksa dia terbang dari Singapura untuk menemaninya di Pulau Tioman. Kalau orang tak beriman dan tak percaya dengan qada dan qadar yang telah Allah tetapkan, rasanya Hairi dah cabut paip tong gas sendiri di tengah laut dalam.
            “Kami kahwin sebab keluarga. Dia jenis lurus. Ikut cakap orang sahaja. Hati sendiri nak apa pun aku tak tahu.”
            “Kau boleh bimbing dia. Aku tahu kau sayangkan dia.”
            “Entahlah. Biarlah macam ni dulu.”
            “Fikir betul – betul.”
            “Dah masak dah fikir. Life is complicated.” Hairi menamatkan soal hati yang sedang dibincangkan. Dia pasti dia sayangkan Izzie Laith tapi dia juga pasti yang perkahwinan yang bahagia bukan berlandaskan restu ibu bapa semata – mata atau cinta semata – mata. Kedua – duanya perlu seiring. Dalam hal ini dia juga salah kerana lambat mencambahkan rencah dalam perkahwinan mereka.
            Hairi melambaikan tangan apabila dia nampak Izzie tercari – cari. Dah lewat sangat kerana mereka menanti sehingga majlis tahlil selesai dan menjamah dulu hidangan yang disediakan oleh tuan rumah. Ghazi yang mengajak Hairi melepak di depan pagar selepas makan tadi.
            “Hai.” Ghazi menyapa Izzie mesra.
            “Hai.” Izzie tersenyum nipis sekadar menghormati sahabat Hairi.
            “Hairi ni dah gelap sangat. Balik Clorox sikit.” Ghazi berselorah. Cubaan untuk menceriakan suasana hening antara mereka.
            “Kau pun sama hitam ada hati nak mengata aku. Ini kawan saya, Ghazi.”
            Izzie hanya tersenyum. Walau pun Hairi bertambah gelap, ketampanannya pada pandangan Izzie langsung tak terjejas.
            But you don’t have to worry Izzie because his heart is brighter and more valuable than the colour of his skin.”
            Hairi merapati Izzie dan berbisik, “Someone never sees that.”
            “Macam buah manggis, isinya putih dan yang penting rasanya manis.” Izzie sekadar memenangkan Hairi. Memuji bekas suami secara terang.
            “Kalau bantal peluk kau yang bagi testimoni cakap isi manis, kena balik dululah. Malam Jumaat ni pun.”
            Ghazi dan Hairi tergelak. Izzie pula termalu sendiri dengan kata – katanya.
            “Lebih - lebih kau ya. Dah jangan nak layan dia ni lagi. Kita balik dululah.”
            “Ya lah jumpa lagi. Kena jaga Hairi elok – elok, jangan lepaskan sebab orang Ambon cakap, sehitam – hitam kepala keretapi tapi ramai yang menanti.” Ghazi berkias sekadar menduga.
            Izzie hanya tersenyum. ‘Makan dalam’ betul kiasan Ghazi.



           
            “KERETAPI dah terlepas.” Izzie mengeluh. Dia mengacau – ngacau straw di dalam gelas.
            “Kapal terbang lagi sesuai untuk awak kot.” Hairi tersenyum. Mereka singgah di sebuah restoran sebelum balik. Sekadar menyambung perbincangan antara mereka. Menghabiskan sisa – sisa yang tertinggal.
            “Kejap lagi saya hantar awak balik. Sekarang terpulanglah. Awak nak masuk kerja lagi atau tak. Saya boleh uruskan semua untuk awak.”
            “I’m sorry. Again I’m sorry.”
            “Enough.”
            “Saya dah tak masuk kerja. Maknanya inilah kali terakhir kita jumpa. Halalkan makan dan minum saya.” Izzie memandang tepat ke arah Azrul Hairi. Mencari sisa harapan yang terakhir.
            Hairi mengangguk. Tipu kalau dia tak sedih melepaskan Izzie pergi. Biar saja sayang yang baru berputik ini mekar di taman larangan. Biar saja rasa yang bertitik ini membesar di penjara hati.
            “Alahai, tak kan lah kali terakhir jumpa. Kena realistik Izzie. We might bump into each other if God willing.”
            “Awak ni kan. Eeee....” Izzie memuncungkan mulut. Baru nak melodramatik, Hairi dah potong.
            “Live well, will you?”        
            Mereka bertentang mata.
            Izzie mengangguk. Air mata mengalir tanpa dapat ditahan. Dia bangga dengan dirinya sendiri. Bangga kerana dapat berhadapan dengan realiti walau pun impiannya berderai.
            Hairi membuang pandang. Dia bukan lagi orang yang berhak untuk menyapu air mata yang mengalir di pipi Izzie. Antara mereka sudah terlucut ikatan yang sah.
            “Izzie, awak ingat lagi tak masa kita jumpa pertama kali dulu?”
            Izzie mengangguk. Tak mampu nak bersuara.
            “Saya sekarang ni dah kira status ex-spouse. Saya nak sangat tahu saya ni masuk kategori mana?”
            Kisah pertemuan kali pertama antara mereka terimbau kembali....
           
            “Pak we tak ada. Ex – boyfriend adalah tapi tak kiralah kan.” Izzie menjawab selamba. Tak nak mengaku kalah dan lemah di hadapan Azrul Hairi.
            “Ex – boyfriend kategori yang macam mana? Kena dump sampai awak nak bunuh diri atau kategori yang awak dump dia sebab nak kahwin dengan saya?”
            “Perasan.” Izzie tersenyum nipis. Boleh tahan kelakar dan perasan juga mamat ni.
            “I think there are two categories of ex-boyfriend, satu ialah yang masih diingati in a good way dan dua yang memang kalau boleh tak nak ingat langsung and these memang tak ada kena - mengena dengan who dump who. Seriously.”
            “Okay, muka awak memang serius Izzie.” Hairi tergelak.
           
            “Hairi, masa awak tolak rancangan keluarga kita untuk rujuk kembali, saya rasa awak sangat kejam. Awak baik tapi kejam. Awak seorang suami yang baik dan selama mana yang mampu saya kenang saat antara kita, saya sedar layanan awak tak ada kurangnya. Jadi saya rasa awak sangat kejam apabila tak nak bagi saya peluang untuk menebus dosa saya. Sekarang, berhadapan dengan awak, saya tak mampu pun nak membenci awak. You’re my new invented category. My Jekyll and Hyde.”
            Hairi tersenyum. Puas dengan pengakuan ikhlas Izzie. Dia faham maksud peribahasa Jekyll and Hyde, seorang yang mempunyai dua personaliti iaitu sangat kejam dan juga sangat baik.

            You are my Jekyll and Hyde too Izzie. You leave me when I start to love you. You love me when I start to leave you.

            “Izzie, saya minta maaf.”
            “It’s okay. I won’t cry anymore after this.”
            “Promise?”
            Izzie menganguk. Air mata yang makin laju mengalir disapu dengan hujung lengan baju kurung.
            “Always remember, be the flow.”           
            Izzie mengangguk lagi.

            If Allah fated us together again, I just want you to know that in my life, I only like two choices. I build it or I break it. Izzie Laith, I wish you well because I will pray that one day will come.

            Kata – kata yang tak mampu dia luahkan. Cukuplah setakat ini. Dalam kamus hidup Azrul Hairi tak akan ada pilihan yang ketiga. Kenapa dia menunggu selama ini untuk bertentang mata dengan Izzie Laith? Azrul Hairi mengharapkan keajaiban, berdoa agar ada benih yang ditabur menjadi supaya dia tak perlu membuat apa – apa pilihan. Sayangnya impian mereka berderai jua dalam meredah realiti. Kisah mereka umpama kelip – kelip. Walau pun singkat kelipan hidupnya tapi ianya sesingkat yang terindah.

            My Jekyll and Hyde, let go and let God.

Jika teringat tentang dikau
Jauh di mata dekat di hati
Sempat terpikir tuk kembali
Walau beda akan kujalani
Tak ada niat untuk selamanya pergi

Jika teringat tentang dikau
Jauh di mata dekat di hati
Apakah sama yang kurasa
Ingin jumpa walau ada segan
Tak ada niat untuk berpisah denganmu

Jika memang masih bisa mulut ku berbicara
Santun kata yang ingin terucap
Kan ku dengar caci dan puji dirimu padaku
Kita masih muda dalam mencari keputusan
Maafkan daku ingin kembali
Seumpama ada jalan tuk kembali

Jika teringat tentang dikau
Jauh di mata dekat di hati
Tak ada niat untuk selamanya pergi

Jika teringat tentang dikau
Jauh di mata dekat di hati
Tak ada niat untuk berpisah denganmu



 p/s: TAMAT
with love